projekmmoBerita

‘Doktor’ gila seks: Staf klinik bocor info kena tindakan

Doktor palsu 'Dr Haji Abi Bakar' yang mendakwa bertugas di Hospital Besut memperdayakan tiga wanita sejak 15 Julai lalu. — Paparan skrin GoogleDoktor palsu 'Dr Haji Abi Bakar' yang mendakwa bertugas di Hospital Besut memperdayakan tiga wanita sejak 15 Julai lalu. — Paparan skrin GoogleKUALA TERENGGANU, 4 Ogos — Tindakan akan dikenakan terhadap kakitangan klinik kerajaan yang mendedahkan maklumat pesakit kepada seorang lelaki gila seks.

Lelaki yang menyamar pakar itu mengganggu tiga wanita hamil dengan mendakwa mahu memeriksa alat sulit melalui telefon sambil bersuara ghairah.

Jabatan Kesihatan Terengganu memandang serius isu gangguan seks itu, yang mengulangi kejadian sama pada 2010 dan 2013, lapor Sinar Harian.

Walau kakitangan klinik telah diperdayakan lelaki berkenaan tetapi mendedahkan butiran pesakit tetap salah, kata pengarahnya Dr Mohammad Omar.

“Ia bukan amalan biasa bagi klinik-klinik dan hospital di negeri ini, ia adalah satu salah laku serius kerana mendedahkan kerahsiaan pesakit dan bertentangan dengan undang-undang sedia ada,” katanya seperti dilaporkan.

Kelmarin, seorang lelaki yang menyamar “Dr Haji Abu Bakar” dilaporkan menipu wanita sedemikian setelah maklumat diperolehi dari sebuah klinik di Besut.

Suspek itu, yang mendakwa seorang doktor dari Hospital Besut, memperdayakan tiga wanita tersebut sejak 15 Julai lalu.

Rabu lalu, Mohammad dilaporkan berkata lelaki itu memperoleh butiran peribadi 12 pesakit yang pernah mendapatkan rawatan di klinik berkenaan.

Susulan aduan polis pada 18 Julai lalu, nombor telefon pelaku sudah tidak diaktifkan.

Dalam kenyataan hari ini, Mohamad berkata klinik kesihatan terbabit telah menghubungi tiga pesakit berkenaan dan menjelaskan situasi sebenar.

Jabatan kesihatan negeri menegaskan ia sentiasa menjaga kerahsiaan data pesakit sepanjang masa dan insiden itu “satu kesilapan yang sangat dikesali.” 

Lagi Video di MMOTV