projekmmoBerita

Dipukul dengan topi keledar, editor akhbar pengsan

Polis Kota Kinabalu memburu seorang lelaki yang disyaki memukul seorang editor sebuah akhbar hingga pengsan. — Paparan skrin GooglePolis Kota Kinabalu memburu seorang lelaki yang disyaki memukul seorang editor sebuah akhbar hingga pengsan. — Paparan skrin GoogleKOTA KINABALU, 6 Ogos — Seorang editor sebuah akhbar tempatan cedera dipercayai diserang seorang penunggang motosikal di sebuah stesen minyak di Luyang dekat sini semalam.

Ketua polis Kota Kinabalu ACP M Chandra berkata lelaki berumur 65 tahun itu cedera di bahagian muka dengan matanya lebam selain rahang dan pipi kirinya bengkak apabila penunggang motosikal itu memukulnya menggunakan topi keledar selepas mangsa mengajukan pertanyaan kenapa  suspek  mengekorinya.

Suspek mengekori mangsa pada kira-kira 2.45 petang selepas lelaki itu berbual-bual dengan rakannya di Lido dekat sini dan oleh kerana tidak puas hati, mangsa singgah di stesen minyak berkenaan dan keluar dari kereta untuk bertanya dalam bahasa Cina kenapa penunggang motosikal itu mengekorinya.

“Suspek (penunggang motosikal) tidak berkata apa-apa dan terus membuka topi keledar dan menghayunkannya ke arah muka mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Chandra berkata mangsa terus pengsan dan tidak sedarkan diri sehingga berada di Hospital Queen Elizabeth 1 di sini.

“Mangsa sekarang dalam keadaan stabil, namun terpaksa ditahan di wad hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Chandra berkata mangsa tidak tahu punca dia dipukul. — Bernama

Lagi Video di MMOTV