projekmmoBerita

Curi lapan tiang lampu MBPJ, lelaki dipenjara 18 bulan

Seorang buruh binaan dipenjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalahmencuri lapan batang besi tiang lampu MBPJ. ― Paparan skrin GoogleSeorang buruh binaan dipenjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret selepas mengaku bersalahmencuri lapan batang besi tiang lampu MBPJ. ― Paparan skrin GooglePETALING JAYA, 17 Okt ― Seorang buruh binaan dipenjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencuri lapan batang besi tiang lampu milik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), minggu lepas.

Majistret Fadzlin Suraya Mohd Suah menjatuhkan hukuman itu terhadap Shawalludin Johari, 46  dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula hari ini.

Bapa dua anak itu dituduh dengan sengaja mencuri lapan batang besi tiang lampu yang bernilai RM3,000 milik MBPJ di kawasan stor MBPJ City di Sungai Way, di sini, pada 6.15 petang, 11 Okt lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran dengan alasan tertuduh mempunyai rekod jenayah lampau.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama.

“Bapa saya sudah meninggal dunia, semenjak itu saya yang menjaga ibu. Saya juga menanggung seorang isteri serta dua anak yang masih bersekolah,” katanya.

Mengikut fakta kes, pengadu yang bertugas sebagai penjaga stor di tempat kejadian ternampak tertuduh dalam keadaan mencurigakan. 

Selepas semakan dibuat mendapati terdapat lapan batang besi tiang lampu di dalam bungkusan plastik hitam yang dipegang tertuduh. ― Bernama

Lagi Video di MMOTV