projekmmoBerita

Cipta sejarah, Aida wanita pertama jadi pegawai memerintah kapal

Leftenan Maritim Aida Arzahri, 35, dilantik sebagai pegawai memerintah kapal kerajaan wanita pertama di Malaysia dan akan meneraju KM Nyalau yang berpangkalan di Lumut, Perak. — Foto BernamaLeftenan Maritim Aida Arzahri, 35, dilantik sebagai pegawai memerintah kapal kerajaan wanita pertama di Malaysia dan akan meneraju KM Nyalau yang berpangkalan di Lumut, Perak. — Foto BernamaKUANTAN, 15 Feb — Lt. Maritim Aida Arzahari yang mencipta sejarah sebagai Pegawai Memerintah Kapal wanita pertama negara hari ini, mendedikasikan kejayaan itu kepada ibunya yang mendorong beliau meneruskan legasi arwah bapanya.

Aida, 35, berkata ibunya Hamiah Zain, 57, kerap memujuknya untuk menyertai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) walaupun beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah mempunyai pekerjaan yang stabil dalam bidang kewangan.

Anak kelahiran Perlis itu berkata arwah bapanya Arzahari Sudin merupakan pegawai waran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) meninggal dunia pada 13 Jan 2007 akibat serangan jantung pada usia 49 tahun.

“Apabila saya rasa mahu berputus asa semasa latihan, saya akan ingat semula cabaran yang diberikan ibu dan pesanan arwah ayah supaya saya menjadi yang terbaik daripada yang hebat,” katanya.

Aida berkata demikian kepada pemberita selepas menerima watikah lantikannya daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim pada Sambutan Ulang Tahun Maritim Malaysia ke-13 dan Perbarisan Tamat Latihan di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di sini, hari ini.

Aida yang menyertai APMM pada 23 April 2012 sebagai pegawai pelatih dan pernah berkhidmat di Kota Kinabalu, Sabah akan menerajui kapal KM Nyalau yang berpangkalan di Lumut, Perak.

“Saya berharap kejayaan ini akan menjadi inspirasi kepada golongan wanita untuk sama-sama menonjol dan mencapai kejayaan walaupun berada dalam bidang yang dimonopoli kaum lelaki... tunjukkan wanita juga berkebolehan menjaga keamanan negara,” katanya.

Aida yang masih bujang juga mendedikasikan kejayaan itu kepada lima pegawai atasannya yang banyak membantu dan tidak jemu memberi dorongan kepadanya untuk berjaya.

Sementara itu, Hamiah berkata beliau memberi sokongan kepada anak sulungnya itu kerana mahu sekurang-kurangnya seorang daripada tiga anaknya mengikut jejak langkah suaminya.

Aida, menurutnya paling sesuai kerana mewarisi keperibadian suaminya iaitu tegas, bertangggungjawab dan akan memastikan setiap tugas dilaksanakan dengan baik sehingga mendapat gelaran ‘anak ayah’ dalam kalangan keluarga.

“Adik-adiknya pula terlalu muda, baru berusia 22 dan 17 tahun. Jadi saya beritahu pada Aida, ikutlah jejak ayah. Tambahan pula semasa itu, Aida sering bercerita tidak gembira dengan kerjanya di bahagian akaun dan mahu berhenti kerja,” katanya.

Hamiah juga tidak dapat menahan air mata apabila memaklumkan Aida telah dua kali mengharumkan nama keluarga kerana sebelum ini beliau dinobatkan sebagai pelatih terbaik pada hari tamat latihan di AMSAS.

“Kalau arwah bapanya masih ada, sudah pasti beliau akan berasa bangga dengan Aida. Saya bersyukur sangat kerana apa yang saya impikan...apa yang mungkin ayahnya bangga tercapai,” katanya. — Bernama

Lagi Video di MMOTV