projekmmoBerita

Cabul lima murid, doktor gigi direman tiga hari

TAWAU, 19 Mac — Seorang doktor gigi ditahan reman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mencabul sekurang-kurangnya lima pelajar perempuan di sebuah sekolah menengah di sini.

Suspek lelaki itu disyaki melakukan perbuatan itu ketika pelajar mendapatkan rawatan pergigian di klinik sekolah berkenaan.

Ketua Polis Tawau, ACP Fadil Marsus, berkata suspek berusia 26 tahun itu ditahan di Lapangan Terbang Tawau pada pukul 2.30 petang kelmarin ketika dipercayai cuba berlepas ke Kuala Lumpur. 

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

"Saya mengesahkan menerima laporan kes cabul membabitkan doktor gigi itu dan kita akan siasat secepat mungkin," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Petang kelmarin, lima keluarga mangsa membuat laporan polis mendakwa anak perempuan mereka dicabul seorang doktor gigi ketika sedang mendapatkan rawatan di klinik gigi sekolah mereka. — Bernama

Lagi Video di MMOTV