projekmmoBerita

Buka gari sendiri, lelaki suspek dadah diburu polis

Polis menemui kunci yang digunakan suspek untuk membuka gari berantai di dalam longkang di kawasan kompleks mahakamah. — Paparan skrin GooglePolis menemui kunci yang digunakan suspek untuk membuka gari berantai di dalam longkang di kawasan kompleks mahakamah. — Paparan skrin GoogleGEORGE TOWN, 7 Sept — Seorang lelaki yang dihadapkan di mahkamah di sini atas kesalahan dadah kini diburu polis selepas dia melarikan diri di perkarangan kompleks mahkamah itu semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Anuar Omar berkata dalam kejadian pukul 5.20 petang itu, Khairul Nizam Abdullah Sani, 33, melarikan diri ketika dibawa anggota polis dari lokap mahkamah menuju ke Black Maria selepas selesai pertuduhan kesnya.

“Siasatan awal mendapati lelaki itu dan seorang lagi tahanan (lelaki) melarikan diri selepas membuka gari berantai yang mengikat mereka bersama 27 tahanan lain menggunakan kunci dipercayai buatan sendiri.

“Seorang lagi tahanan berusia 37 tahun berjaya ditahan semula di kawasan perkarangan mahkamah. Semasa kejadian terdapat empat anggota polis mengiringi semua tahanan itu,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata polis menemui kunci yang digunakan suspek untuk membuka gari berantai di dalam longkang di kawasan kompleks mahakamah itu dan mendapati ia tidak sama dengan kunci yang biasa digunakan polis.

Anuar berkata siasatan lanjut masih dijalankan termasuk mendapatkan maklumat bagaimana tahanan itu mendapat kunci dipercayai buatan sendiri itu.

Berikutan itu, polis melancarkan Op Tutup bagi mengesan lelaki yang berasal dari Jalan Siam, di sini dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis berhampiran.

Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata polis menahan dua lelaki berusia 40 dan 48 tahun kerana terlibat dalam aktiviti memasak dan menjual air ketum dalam serbuan di Kampung Binjai, Cherok Tokun Atas di sini semalam.

Beliau berkata ketika serbuan pukul 5.30 petang itu, dua lelaki terbabit berada di pondok belakang rumah milik seorang daripada mereka dan dipercayai baru selesai memasak air ketum.

“Siasatan awal mendapati dua lelaki itu terlibat dalam aktiviti berkenaan sejak beberapa bulan lepas dan mereka turut menjadikan pondok itu sebagai tempat pelanggan untuk minum air ketum. Dalam serbuan itu, polis turut merampas 10 bungkus air ketum bernilai RM100,” katanya. — Bernama

Lagi Video di MMOTV