projekmmoBerita

Bomba terbangkan 14 tan makanan untuk mangsa banjir

Unit udara bomba menghantar 14 tan bekala makanan kepada mangsa banjir di Tatau menggunakan helikopter. — Foto ihsan Facebook/Sarawak EditionUnit udara bomba menghantar 14 tan bekala makanan kepada mangsa banjir di Tatau menggunakan helikopter. — Foto ihsan Facebook/Sarawak EditionTATAU, 11 Feb — Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menghantar 14 tan bekalan makanan untuk keperluan 4,354 penduduk terjejas banjir menggunakan helikopter Mi-171.

Pegawai Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Farhan Sufyan Borhan berkata 10 anggota unit udara diketuai pegawai Mohd Ruzaidi Ramlee melakukan misi penghantaran itu bermula 10.54 pagi semalam berpusat  di Dewan Sukan Tatau, dekat Bintulu.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tatau menerima bantuan unit udara bomba dan penyelamat untuk menghantar bekalan makanan ke dua buah rumah panjang yang dijadikan pangkalan iaitu Rumah Dilang dan Rumah Thomas.

“Bekalan makanan tersebut akan diagihkan kepada 4,354 penerima yang tinggal berhampiran kedua-dua rumah panjang tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Dewan Sukan Tatau di sini petang semalam.

Selain Unit Udara Bomba dan Penyelamat, misi penghantaran bekalan itu turut dibantu anggota agensi lain seperti polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia , Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Sukarelawan Malaysia dan tentera.

Farhan berkata misi menggunakan helikopter itu akan diteruskan hari ini melibatkan penghantaran bekalan makanan ke Rumah Barat yang terletak di Ulu Sungai Anap juga dalam Daerah Tatau.

“Selain melaksanakan misi menghantar bekalan makanan, Unit Udara Bomba dan Penyelamat juga melakukan pemantauan udara untuk mendapatkan gambaran jelas situasi banjir di daerah ini.

“Berdasarkan pemantauan yang dilakukan kawasan yang ditenggelami banjir didapati beransur surut,” katanya.

Sejumlah 602 penduduk daripada 138 keluarga terjejas banjir masih ditempatkan di Dewan Sukan Tatau setakat 4 petang tadi. — Bernama

Lagi Video di MMOTV