projekmmoBerita

Bermulanya kehidupan baru Tunku Tun Aminah, Dennis Muhammad

Puteri Sultan Johor Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim dan Dennis Muhammad Abdullah akan melangsungkan perkahwinan di Istana Bukit Serene pada Isnin ini. — Foto BernamaPuteri Sultan Johor Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim dan Dennis Muhammad Abdullah akan melangsungkan perkahwinan di Istana Bukit Serene pada Isnin ini. — Foto BernamaJOHOR BARU, 13 Ogos — Puteri Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim sedang menyiapkan mahligai baharunya sebagai persediaan mengharungi kehidupan selepas mendirikan rumah tangga.

Ini satu pengalaman baharu buat puteri itu - mengharungi kehidupan bersama bakal suami, Dennis Muhammad Abdullah, seorang warga Belanda selepas perkahwinan mereka, Isnin ini.

"Kami akan berpindah ke rumah sendiri dan memulakan kehidupan sebagai pasangan suami isteri.

"Ini adalah pertama kali saya akan tinggal sendiri, dan jauh dari ayahanda, bonda serta ahli keluarga yang lain," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Royal Press Office, pejabat media dan komunikasi rasmi keluarga diraja Johor, di sini hari ini.

Istiadat pertunangan Tunku Tun Aminah akan berlangsung di Istana Bukit Serene di sebelah pagi Isnin ini, diikuti dengan Istiadat Akad Nikah.

Manakala, di sebelah malam, pengantin diraja itu akan diraikan dalam Istiadat Persandingan di Bilik Singgahsana, Istana Besar Johor Baru.

Kesemua istiadat itu akan dijalankan dengan penuh adat istiadat dan budaya Diraja Johor, di mana pengantin perempuan akan mengenakan Baju Kurung Teluk Belanga, manakala pengantin lelaki mengenakan Baju Melayu Teluk Belanga.

Baju Kurung Teluk Belanga diperkenalkan pada lewat kurun ke-19 ketika pemerintahan Almarhum Sultan Sir Abu Bakar di mana ia tidak mempunyai kolar dan bahagian leher dijahit menggunakan jahitan yang dikenali sebagai tulang belut.

Baju rasmi Johor ini, seperti namanya, berasal dari sebuah pulau di Singapura yang dahulunya pernah menjadi ibu negeri Johor.

Kira-kira 1,200 tetamu akan menghadiri majlis ringkas tapi penuh bermakna itu yang akan turut dipancarkan secara langsung kepada orang ramai menerusi skrin digital gergasi, ditempatkan di Dataran Bandaraya dan bangunan Majlis Bandaraya Johor Baru.

Tunku Tun Aminah berkata, beliau tertarik dengan Dennis Muhammad kerana perwatakan bakal suaminya yang baik dan lemah lembut.

"Beliau sentiasa memberi sokongan dan memahami saya dengan baik," katanya.

Sementara itu, Dennis Muhammad yang memeluk Islam sebelum mengenali Tunku Tun Aminah berkata, beliau berasa terharu apabila diterima menjadi sebahagian daripada keluarga DiRaja Johor.

"Tunku Tun Aminah seorang insan yang amat istimewa buat saya. Beliau seorang yang menarik namun dalam masa yang sama, seorang yang tegas dan mempunyai nilai kekeluargaan yang kukuh. Beliau juga amat rapat dengan keluarganya, seperti saya dengan keluarga di Belanda," katanya.

Dennis Muhammad berkata walaupun mengahwini seorang anak raja, beliau tetap akan bekerja kerana ayahnya pernah menegaskan betapa pentingnya untuk bekerja bagi menampung kehidupan keluarga.

Beliau kini memegang jawatan kanan dalam sebuah syarikat pembangunan hartanah utama di Johor Baru. — Bernama

Lagi Video di MMOTV