projekmmoBerita

Felda beli dua hotel: Isa Samad ditahan SPRM

Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dipanggil ke SPRM berhubung pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC). — Foto oleh Choo Choy MayTan Sri Mohd Isa Abdul Samad dipanggil ke SPRM berhubung pembelian hotel oleh Felda Investment Corporation (FIC). — Foto oleh Choo Choy May

KUALA LUMPUR, 15 Ogos — Bekas pengerusi Felda Global Ventures (FGV) Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Beliau sebelum itu hadir di ibu pejabat SPRM di Putrajaya bagi memberi keterangan berhubung pembelian dua buah hotel oleh sebuah anak syarikat Felda.

Dalam satu kenyataan, timbalan ketua pesuruhjaya (operasi) SPRM Datuk Azam Baki mengesahkan penahanan ahli parlimen Umno itu.

Tindakan itu dibuat susulan keterangan-keterangan yang dirakam oleh penyiasat  SPRM berhubung pembelian hotel-hotel tersebut, katanya lagi.

“Justeru itu, SPRM yakin mempunyai asas yang kukuh untuk membuat penahanan tersebut supaya dapat membantu melengkapkan siasatan kes tersebut,” kata Azam.

Menurut Bernama, Mohd Isa tiba bersama dua peguam pada 2.40 petang tadi berhubung siasatan pembelian oleh Felda Investment Corporation (FIC).

Namun hanya bekas menteri besar itu yang dilihat memasuki pejabat SPRM.

SPRM dilaporkan membuka kertas siasatan berhubung pembelian sebuah hotel di Kensington, London antara 2014 dan 2015 oleh FIC.

Harga yang dibayar jauh lebih tinggi berbanding harga pasaran hingga menyebabkan syarikat itu mengalami kerugian puluhan juta ringgit.

FIC juga membeli sebuah hotel mewah di Kuching, yang juga dalam siasatan SPRM.

Lagi Video di MMOTV