projekmmoBerita

Tuntutan baki RM265,000 Vanida Imran diketahui Januari

Keputusan tuntutan Vanidah Imran untuk baki kontrak sebanyak RM265,000 sebagai duta kosmetik Ronasutra diketahui 29 Januari tahun depan. — Foto ihsan Facebook/Vanidah Imran FCKeputusan tuntutan Vanidah Imran untuk baki kontrak sebanyak RM265,000 sebagai duta kosmetik Ronasutra diketahui 29 Januari tahun depan. — Foto ihsan Facebook/Vanidah Imran FC

KUALA LUMPUR, 9 Okt — Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 29 Jan tahun depan untuk keputusan rayuan syarikat pengeluar kosmetik Ronasutra yang diperintah membayar baki bayaran kontrak sebanyak RM265,000 kepada duta produk Ronasutra yang juga pelakon Vanidah Imran.

Peguam Aizul Rohan Anuar, mewakili Vanidah memberitahu pemberita bahawa pesuruhjaya kehakiman Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya ketika pengurusan kes berkenaan hari ini yang turut dihadiri peguam Phang Soon Mun, mewakili Miliyasutra Industries Sdn Bhd.

Aizul Rohan berkata rayuan berhubung tuntutan balas yang dikemukakan syarikat itu juga akan diketahui pada tarikh sama (29 Jan).

Syarikat itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen di sini pada 23 Mei lepas yang membenarkan tuntutan baki bayaran kontrak RM265,000 yang dipohon Vanidah yang turut dikenali sebagai Vee dalam saman terhadap Miliyasutra Industries Sdn Bhd berhubung pelanggaran kontrak.

Bagaimanapun, mahkamah menolak tuntutan Vanidah selaku plaintif bagi ganti rugi sebanyak RM500,000 untuk penggunaan imejnya secara salah serta menolak tuntutan bagi ganti rugi am, teladan dan teruk.

Vanidah memfailkan saman terhadap Miliyasutra pada 28 Okt 2016, antara lainnya menuntut ganti rugi sebanyak RM765,000 atas dakwaan syarikat itu telah melanggar kontrak dan menggunakan imejnya secara salah.

Menurut pernyataan tuntutan, Vanidah mendakwa beliau telah menandatangani kontrak bernilai RM490,000 dengan Miliyasutra sekitar September 2012 bagi tempoh dua tahun dan sepanjang tempoh itu, pelakon utama filem ‘The Red Kebaya’ itu telah melunaskan tanggungjawabnya tanpa sebarang aduan daripada syarikat berkenaan.

Bagaimanapun, Vanidah mendakwa sehingga kontrak tersebut tamat pada September 2014, baki bayaran kontrak sebanyak RM265,000 masih belum diterima dan pada 6 April 2015, defendan mencadangkan bayaran sebanyak RM60,500 kepada pelakon itu sebagai penyelesaian penuh.

Pelakon itu mendakwa sekitar Julai 2016, beliau mendapati imejnya telah disalah guna oleh defendan dalam penjualan beberapa barang kosmetik jenama Ronasutra sedangkan pada ketika itu, kontraknya telah luput dan penggunaan gambarnya masih berlanjutan sehingga sekarang.

Oleh itu, Vanidah menuntut baki kontrak sebanyak RM265,000 dan RM500,000 sebagai ganti rugi bagi penggunaan imejnya tanpa kebenaran selain ganti rugi am, teladan dan teruk serta lain-lain kos dan relif yang sesuai. — Bernama

Lagi Video di MMOTV