projekmmoBerita

Azmin sedia lepaskan Gombak, beri laluan Tun M bertanding

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sedia melepaskan kerusi parlimen Gombak bagi memberi laluan Tun Dr Mahathir Mohamad bertanding PRU14. — Foto oleh Miera ZulyanaDatuk Seri Mohamed Azmin Ali sedia melepaskan kerusi parlimen Gombak bagi memberi laluan Tun Dr Mahathir Mohamad bertanding PRU14. — Foto oleh Miera ZulyanaKUALA LUMPUR, 14 Jan — Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sedia melepaskan kerusi parlimen Gombak yang disandangnya selama dua penggal.

Azmin berkata peluang akan diberikan kepada pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bertanding di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Saya bersedia memberi laluan kepada Tun @chedetofficial di Parlimen Gombak sekiranya dipersetujui oleh Keadilan. Mari membingkai muafakat demi rakyat,” katanya dalam status Twitter malam tadi.

Timbalan presiden PKR itu menang kerusi Gombak sejak 2008 dan penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa sejak 1999.

Sementara itu portal Berita Harian melaporkan Azmin yakin calon perdana menteri yang dipilih Pakatan Harapan (PH) itu mampu memperoleh lebih banyak undi terutama dari penyokong Umno berbanding jumlah undi yang diterimanya pada PRU13.

“Walaupun saya menang dengan jumlah undi marginal sebanyak 52 peratus, tetapi ini kerusi majoriti Melayu dan kawasan kuat Umno untuk beberapa dekad. Saya percaya Tun boleh mendapat undi yang lebih banyak dalam kalangan pengundi Umno pada PRU14,” katanya seperti dilapor portal itu.

Azmin sebelum ini dilaporkan bakal bertanding di parlimen Shah Alam, kerusi yang disandang Khalid Samad dari Parti Amanah Negara (Amanah).

Lagi Video di MMOTV