projekmmoBerita

Azizulhasni teruja, filem biopik beri motivasi rakyat Malaysia

Misi mencari 'Azizulhasni' akan dilancarkan bagi mencari bakat yang bakal melakonkan watak Azizulhasni dalam filem menelan belanja RM6 juta. — Foto Bernama Misi mencari 'Azizulhasni' akan dilancarkan bagi mencari bakat yang bakal melakonkan watak Azizulhasni dalam filem menelan belanja RM6 juta. — Foto Bernama KUALA LUMPUR, 15 Feb — Penghasilan filem Biopik  Azizulhasni Awang mampu memberi semangat kepada juara keirin dunia itu untuk terus meletakkan nama Malaysia di peta sukan berbasikal dunia.

Filem arahan pengarah sinematografi terkenal, Raja Mukhriz Raja Ahmad itu merupakan kerjasama antara Three Sixty Management, Unitalent Sdn Bhd dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Ia satu penghargaan bagi usaha dan pengorbanan saya selama ini sebagai atlet yang mewakili negara daripada peringkat bawah ke peringkat dunia. Ini satu khazanah yang perlu dikongsikan dengan rakyat Malaysia.

“Jika tiada inisiatif ini, mungkin ia akan berakhir begitu sahaja. Orang hanya akan ingat bila saya menang tapi jika sejarah ini didokumentari dalam bentuk filem akan dapat sampaikan kepada generasi seterusnya,” kata Azizulhasni kepada pemberita selepas sidang media pengumuman filem berkenaan di sini, semalam.

Azizulhasni, 30, berkata beliau teruja apabila filem tersebut akan dijadikan jurnal untuk pembelajaran pelajar UUM.

Beliau berkata filem yang bakal digarapkan dengan elemen kekeluargaan, usaha serta pengalamannya sejak kecil bakal menjadi inspirasi dan motivasi kepada rakyat Malaysia.

“Filem ini saya akan jadikan sebagai medium untuk sampaikan kepada orang ramai bagaimana kita dari negara kecil boleh menakluk dunia,” katanya.

Filem biopik ini diangkat berdasarkan kisah benar dan pengalaman Azizulhasni sejak kecil sehingga berjaya bergelar jaguh dunia, yang akan menggunakan elemen komersial sebagai plot penceritaan dan juga fakta yang tepat.

Elemen penyelidikan adalah kualiti yang akan dititikberatkan dalam penghasilan filem tersebut, dengan penyelidik dari UUM akan turut serta dalam pembangunan kandungan filem.

Misi mencari Azizulhasni akan dilancarkan bagi mencari bakat yang bakal melakonkan watak Azizulhasni dalam filem melibatkan kos pembikinan kira-kira RM6 juta itu. — Bernama

Lagi Video di MMOTV