projekmmoBerita

APMM cadang berat badan ideal untuk naik pangkat

APMM bercadang menjadikan BMI ideal sebagai satu daripada elemen penting dalam kelayakan kenaikan pangkat anggota dan pegawainya. — Foto BernamaAPMM bercadang menjadikan BMI ideal sebagai satu daripada elemen penting dalam kelayakan kenaikan pangkat anggota dan pegawainya. — Foto BernamaKUANTAN, 4 Dis — Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bercadang menjadikan jisim berat badan (BMI) ideal sebagai satu daripada elemen penting dalam kelayakan kenaikan pangkat anggota dan pegawainya.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) APMM Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata agensi itu sedang mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk merealisasikan hasrat tersebut.

“Kita mahu memastikan mereka yang berkelayakan untuk dinaikkan pangkat memiliki tubuh yang segak, sihat dan cergas. Ini dapat menggambarkan keupayaan pegawai dan anggota untuk menggalas tugas dengan baik, sihat dan cergas.

“Tambahan pula kita merupakan agensi penguatkuasaan yang menghadapi pelbagai cabaran getir ketika bertugas selain dapat menggalakkan mereka sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat, dalam atau selepas waktu bertugas,” katanya.

Abdul Rahman berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Program 3K (Kesegakan, Kecergasan dan Kesihatan) di Stadium Darul Makmur di sini hari ini, yang merupakan kejohanan sukan dalaman APMM yang diadakan pertama kali.

Beliau menambah kata pihaknya juga melihat kemungkinan menjadikan hari Rabu sebagai hari wajib untuk warga APMM beriadah manakala aktiviti sukan pada hari minggu dilakukan atas inisiatif sendiri.

APMM amat menitik beratkan soal kesihatan dan kecergasan kerana memberi pelbagai manfaat bukan sahaja kepada setiap warganya bahkan keseluruhan agensi itu, katanya.

“Ratusan ribu dikeluarkan APMM untuk pembiayaan perubatan anggota dan pegawai setiap tahun. Jika kita mengamalkan gaya hidup sihat perbelanjaan ini pastinya boleh dikurangkan.

“Tambahan pula kita memiliki kelengkapan yang cukup untuk latihan kecergasan dan senaman,” katanya.

Seramai 350 warga APMM mengambil bahagian pada kejohanan sukan yang berlangsung selama seminggu dan melibatkan 10 acara sukan antaranya bola sepak, menembak, olahraga, ping pong dan bola tampar.

Pada kejohanan itu, pasukan Ibu Pejabat APMM muncul juara keseluruhan dengan 28 mata, diikuti APMM Wilayah Timur yang mengutip 24 mata manakala APMM Wilayah Selatan menghuni tempat ketiga dengan 23 mata. — Bernama

Lagi Video di MMOTV