projekmmoBerita

Anak muda maki pemimpin, Aznil ke sekolah ajar komunikasi

Aznil berkata menjadi harapannya untuk mengunjungi sekolah bagi memantapkan penguasaan komunikasi golongan muda. — Foto oleh Choo Choy MayAznil berkata menjadi harapannya untuk mengunjungi sekolah bagi memantapkan penguasaan komunikasi golongan muda. — Foto oleh Choo Choy MayKUALA LUMPUR, 4 Okt — Melihat situasi anak muda semakin membimbangkan, Datuk Aznil Nawawi berhasrat meningkatkan mutu komunikasi golongan itu.

Pengacara “AF Megastar” berkata golongan muda perlu didekati bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku dalam masyarakat.

“Jika kita lihat senario sekarang, banyak anak kita yang bukan sahaja sanggup memaki hamun pemimpin tetapi tanpa rasa bersalah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap ahli agama dan ibu bapa.

“Ada pula yang sanggup memukul ibu sendiri! Sampai bila kita hendak biarkan keadaan ini berlaku?

“Takkan hendak tunggu mereka berani hina nabi?” katanya seperti dilaporkan mStar Online.

Aznil, 54, berkata menjadi harapannya untuk mengunjungi sekolah di Malaysia bagi memantapkan penguasaan komunikasi golongan muda.

Katanya, sokongan pelbagai pihak diperlukan terutama organisasi media bagi memastikan usaha berkenaan berhasil.

“Saya sudah mempunyai idea ini sejak sekian lama dan sedang bekerja rapat dengan agensi kerajaan bagi merealisasikan impian itu.

“Saya ingin keliling Malaysia, pergi ke sekolah-sekolah, mula dari pelajar sekolah rendah untuk dedahkan kepada mereka mengenai kepentingan komunikasi,” katanya.  

Lagi Video di MMOTV