projekmmoBerita

Amar: PH gaduh, macam mana nak perintah Kelantan?

Mohd Amar (kiri) berkata rakyat kini mulai menilai tindakan pakatan tersebut yang 'berbalah' secara terbuka terutama membabitkan pembahagian kerusi. ― Foto oleh Yusof Mat IsaMohd Amar (kiri) berkata rakyat kini mulai menilai tindakan pakatan tersebut yang 'berbalah' secara terbuka terutama membabitkan pembahagian kerusi. ― Foto oleh Yusof Mat IsaKOTA BARU, 14 Feb ― Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Nik Abdullah hari ini mempersoalkan kredibiliti Pakatan Harapan yang bercita-cita mahu menjadi kerajaan namun pada masa yang sama tiada tolak ansur membabitkan parti komponen masing-masing.

Mohd Amar berkata rakyat kini mulai menilai tindakan pakatan tersebut yang 'berbalah' secara terbuka terutama membabitkan pembahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk di Kelantan.

“Jadi kalau kita sebagai pengundi tentulah kita merasa ragu untuk pilih Pakatan Harapan sebagai kerajaan sebab mereka tak boleh tunjukkan sikap tolak ansur dalam menguruskan parti mereka sendiri.

"Jadi macam mana nak jadi kerajaan yang baik dan berkesan?" katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Isnin lepas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bahagian Kota Bharu dilaporkan menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap kekangan yang dihadapi parti itu termasuk dalam isu pembahagian kerusi DUN yang didominasi Parti Amanah Negara (Amanah).

Menurut laporan sebuah portal berita, difahamkan telah enam kali Pakatan Harapan Kelantan mengadakan pertemuan untuk pembahagian kerusi DUN namun masih belum selesai.

Menurut laporan portal berkenaan yang memetik sumber, daripada 45 DUN masih tinggal 14 kerusi yang belum diberi kata putus untuk diberi mandat kepada mana-mana parti dalam HARAPAN, antaranya membabitkan seperti DUN Demit, Kemahang, Tawang, Kijang dan Kemuning.

Portal tersebut turut dipetik melaporkan setakat rundingan yang berlangsung pada 10 Feb lalu, dikatakan Amanah ditetapkan akan bertanding di 17 DUN, manakala lapan kerusi pula akan menjadi milik PPBM, lima kerusi ditetapkan untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan satu kerusi diisi DAP.

Portal tersebut dilaporkan berkata bagaimanapun baki 14 kerusi lagi belum dapat diselesaikan kerana berlaku tuntutan bertindih antara parti-parti berkenaan.

Ditanya adakah perebutan kerusi tersebut berlaku kerana pucuk pimpinan PPBM yang terlalu tunduk dengan desakan DAP, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata kemungkinan tersebut boleh berlaku.

"Boleh jadi (kepimpinan PPBM tunduk kepada DAP), tapi isu yang besar, kalau mereka tak boleh selesai dengan baik, macam mana mereka nak jadi kerajaan yang baik dan berkesan. Itu persoalan yang besar dan rakyat melihat perkara ini dan menilai.

"(Parti dalam Pakatan Harapan) juga mungkin tamak kepada kerusi kerana masing-masing berasa kuat. Masing-masing nak kerusi lebih. Itu yang jadi isu besar pada pandangan saya," katanya. ― Bernama

Lagi Video di MMOTV