projekmmoBerita

Amanah persoal maruah PAS masih bersama kerajaan Selangor

Muktamar PAS bulan lalu meluluskan usul untuk memutuskan hubungan politik dengan PKR yang dipersetujui Majlis Syura Ulama semalam. ― Foto oleh Yusof Mat IsaMuktamar PAS bulan lalu meluluskan usul untuk memutuskan hubungan politik dengan PKR yang dipersetujui Majlis Syura Ulama semalam. ― Foto oleh Yusof Mat IsaSHAH ALAM, 12 Mei ― Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor mencabar kepimpinan PAS di negeri itu meletakkan semua jawatan selepas memutuskan hubungan dengan PKR, jika ada maruah.

Pengerusinya Izham Hashim turut mempersoal kewajaran PAS berada dalam pentadbiran selepas memutus hubungan dengan parti yang mentadbir kerajaan negeri, lapor Sinar Harian.

“Mereka kena letak jawatan sebagai exco, ahli majlis, ketua kampung dan sebagainya jika mereka benar-benar mempunyai maruah,” katanya.

“Buat apa nak pegang jawatan lagi jika hubungan mereka dengan parti-parti dalam kerajaan engeri sudah terputus. Di mana maruah PAS sebenarnya?”

Izham berkata pihaknya tidak terkejut keputusan Majlis Syura Ulama yang membatalkan hubungan dengan PKR kerana kecenderungan itu telah ditunjukkan di peringkat cawangan dan kawasan.

“Majlis Syura Ulama hanya membuat keputusan mengikut hukum,” katanya yang terkilan peluang mencabar BN 'satu lawan satu' tercalar ekoran keputusan PAS itu.

Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia Md Shukri Shuib pula bersetuju dengan Izham bahawa “sudah tiba masanya” PAS melepaskan jawatan di negeri itu.

Beliau berkata tindakan itu perlu sebagai “menghormati kata putus Majlis Syura Ulama” dan “mengikut kehendak dan keperluan akar umbi bukan mengikut khabar angin.”

“Dalam konteks ini sudah terang lagi bersuluh, PAS tegas dengan pendiriannya dan seluruh pimpinan PAS termasuk di Selangor harus patuh dengan keputusan tersebut,” katanya.

Namun, Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Mohammad Fauzi Yusoff berkata keputusan Majlis Syura “tidak memberi masalah” kerana selama ini parti itu bertanding atas kekuatan sendiri bukan disebabkan berada dalam Pakatan Harapan.

“Keputusan itu tidak memberi masalah kerana selama ini kita bertanding pun bukan atas Pakatan Rakyat, kita bertanding atas tiket sendiri.

“Pakatan Rakyat itu dibentuk atas persamaan sahaja. Tetapi apabila persamaan itu sudah tiada sekarang, maka secara automatik kita tidak akan bersama lagi,” katanya kepada akhbar itu.

Lagi Video di MMOTV