projekmmoBerita

Akui ‘Islam memimpin’, PAS terima semula DAP, Amanah

Mursyidul am PAS Hashim Jasin menyatakan partinya sedia bekerjasama dengan DAP dan Amanah jika mereka menerima 'Islam memimpin'. — Foto oleh Yusof Mat Isa Mursyidul am PAS Hashim Jasin menyatakan partinya sedia bekerjasama dengan DAP dan Amanah jika mereka menerima 'Islam memimpin'. — Foto oleh Yusof Mat Isa ALOR SETAR, 27 April — Meletakkan syarat sebarang kerjasama politik PAS mestilah berlandaskan syariat Islam, mursyidul am PAS Hashim Jasin berkata parti itu sedia mengadakan tahaluf siyasi dengan mana-mana parti politik asalkan ia membawa kebaikan kepada rakyat.

Beliau berkata mengambil iktibar pengalaman lepas, PAS akan mengenakan syarat yang mengutamakan Islam sebelum memulakan sebarang kerjasama demi kebajikan, kemakmuran dan kedamaian masyarakat.   

“Andainya DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) atau pun mana-mana parti bersedia mengikut syarat yang kita letak maka tak ada sebab kenapa kita tolak. Kita boleh beri kerjasama, sampai sekarang ini masih terbuka.

“Syarat itulah yang penting, Islam mesti memimpin, apa yang Tuhan nak kita buat (sebagai khalifah). Bukan kita nak jadi orang besar, perdana menteri, menteri-menteri atau wakil rakyat... tapi apa yang penting siapa saja yang buat (memimpin) mestilah mengutamakan Islam,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan muktamar tahunan Dewan Muslimat, di sini hari ini

Hashim berkata PAS juga bersedia untuk mewujudkan blok ketiga yang mungkin berlainan daripada blok-blok politik sedia ada dan jika Pakatan Harapan bersedia menerima Islam sebagai kuasa syariat untuk bekerjasama.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Hashim meminta semua anggota PAS untuk menerima mana-mana bekas anggota parti yang mahu kembali bersama parti.

“Saya kira ada antara mereka yang dulunya bersama kita kemudian lari daripada kita, dia nampak di depan laut, di belakang musuh. Kalau dia minta nak tumpang kapal kita, maafkanlah segala kesilapan, segala kealpaan perkara-perkara yang terlajak.

Sementara itu, timbalan mursyidul am PAS Datuk Ahmad Yakob berkata tiada gunanya kerajaan sedia ada dijatuhkan lalu digantikan dengan parti berfahaman sosialis dan pada masa sama masyarakat meminggirkan gerakan Islam kerana tindakan itu hanya akan memburukkan senario politik negara.

“Kita (PAS) telah berjuang selama lebih 60 tahun untuk menjadi wadah dan menjadi kerajaan, dan jika keadaan ini berlaku apabila kerajaan sekular yang ada dan digantikan dengan sosialis, keadaan akan lebih merumitkan lagi.

“Mungkin dalam keadaan banyak pihak cuba melemahkan Islam menyebabkan kita akan mengambil masa untuk mengumpul kekuatan baharu untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada itu,” katanya ketika berucap merasmikan muktamar Dewan Ulama PAS di Sekolah Rendah Islam Darul Ulum (SRIDU), Tandop di sini. — Bernama.

Lagi Video di MMOTV