projekmmoBerita

Akta baru cegah berita palsu bukan ISA, kata menteri

Azalina berkata sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa kepada berita palsu termasuk Dr Mahathir. — Foto oleh Miera ZulyanaAzalina berkata sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa kepada berita palsu termasuk Dr Mahathir. — Foto oleh Miera ZulyanaPUTRAJAYA, 9 Feb ― Penggubalan undang-undang baharu bagi mengekang penyebaran berita palsu tidak seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang menyekat kebebasan bersuara dan tahanan tanpa bicara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini.

Beliau berkata cadangan penggubalan akta baharu seharusnya disambut baik oleh semua pihak termasuk pembangkang kerana ia dibuat berdasarkan kepada trend semasa dan kesannya yang besar terhadap negara.

Menyatakan rasa terkilannya terhadap dakwaan Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa undang-undang itu untuk menyekat rakyat daripada mengkritik kerajaan, Azalina berkata:  “Ini adalah isu global dan negara luar juga mengambil langkah yang sama untuk membendung isu ini”.

Azalina dalam satu kenyataan hari ini turut menegaskan bahawa penggubalan undang-undang mengekang penyebaran berita palsu itu masih belum muktamad.

Beliau berkata jawatankuasa khas yang ditubuhkan masih lagi mengadakan rundingan dan perbincangan bersama-sama pihak-pihak berkepentingan sebelum diputuskan oleh mesyuarat Kabinet.

“Justeru adalah tidak adil untuk mana-mana pihak menghakimi usaha murni kerajaan ini kerana proses itu masih lagi berjalan dan kerjasama semua pihak diperlukan untuk menangani isu ini secara berkesan dan komprehensif,” katanya.

Azalina berkata Dr Mahathir sebagai mantan perdana menteri dan juga bekas anggota Parlimen lebih 20 tahun seharusnya melihat usaha tersebut tanpa prasangka buruk kerana ia dibuat dengan niat untuk kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara.

Beliau berkata sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa kepada berita palsu termasuk Dr Mahathir sendiri.

“Berita palsu juga dilihat sebagai strategi perang baharu yang boleh memusnahkan negara dengan hanya di hujung jari,” katanya. ― Bernama

Lagi Video di MMOTV