projekmmoBerita

Air naik pantas, banyak kereta tenggelam, kata saksi (VIDEO)

Banyak kereta dinaiki air ketika berdepan kesesakan teruk susulan banjir di beberapa jalan utama di Kuala Lumpur mulai awal malam ini, 12 Mei 2016. — Foto ihsan Twitter/Anis AfiqahBanyak kereta dinaiki air ketika berdepan kesesakan teruk susulan banjir di beberapa jalan utama di Kuala Lumpur mulai awal malam ini, 12 Mei 2016. — Foto ihsan Twitter/Anis AfiqahKUALA LUMPUR, 12 Mei — “Air naik dengan pantas dan keadaan jalan sangat sesak ketika kejadian,” kata seorang pengguna jalan raya, Syamim Nazida, 32, yang melalui Jalan Pantai Baharu di sini.

Beliau berkata hujan lebat di ibu negara, sejak pukul 7 malam menyebabkan sekurang-kurangnya 10 buah kenderaan yang melalui jalan berkenaan tenggelam.

“Ketika itu saya dalam perjalanan pulang ke rumah di Serdang dan saya melihat beberapa kenderaan di hadapan saya telah ditenggelami air.

“Ia sesuatu yang luar biasa, nasib baik kereta saya tidak tenggelam dan saya lihat orang ramai keluar dari kenderaan masing-masing untuk menyelamatkan diri,” katanya kepada Bernama hari ini.

Syamim berkata keadaan itu memaksa beberapa pengguna motosikal bertindak melalui laluan bertentangan untuk menyelamatkan motosikal masing-masing.

“Mereka terpaksa lawan arus kalau tidak motosikal mereka pasti akan tenggelam,” katanya.

Seorang pengguna motosikal Hafiz Ahmad, 25, berkata beliau terpaksa menolak motosikalnya berikutan enjin tidak dapat dihidupkan.

“Pada mulanya saya sangka air tidak dalam, sangkaan saya meleset apabila hampir separuh dari motosikal ditenggelami air.

“Akhirnya ia tidak dapat dihidupkan dan saya terpaksa menolaknya ke kawasan yang lebih tinggi,” katanya.

Sementara itu, ketua polis trafik Kuala Lumpur ACP Nadzri berkata pihaknya sedang memantau keadaan banjir kilat yang berlaku di beberapa jalan utama di ibu negara.

“Keadaan masih lagi terkawal dan jika perlu kami akan membuat lencongan jalan bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas akibat banjir itu.

“Kita akan bekerjasama dengan agensi lain seperti bomba dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur berkenaan situasi banjir kilat ini,” katanya.

Terdahulu, sebanyak empat jalan utama dilaporkan terjejas akibat banjir kilat yang melanda ibu negara kira-kira 7.30 malam ini.

Ketua pusat gerakan operasi Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibani, berkata jalan terbabit ialah Jalan Bangsar, Jalan Semantan, Jalan Pantai Baharu dan Jalan Pudu.

Sebanyak 28 anggota dan pegawai ditugaskan bagi menghadapi sebarang kemungkinan. — Bernama

Lagi Video di MMOTV