projekmmoBerita

20 tahun menunggu, suri rumah gembira jadi warganegara

Sebahagian masyarakat India yang menerima Surat Kelulusan Kewarganegaraan mengangkat sumpah di Wisma Dewan Bandaraya Kuala Lumpur semalam. — Foto BernamaSebahagian masyarakat India yang menerima Surat Kelulusan Kewarganegaraan mengangkat sumpah di Wisma Dewan Bandaraya Kuala Lumpur semalam. — Foto BernamaKUALA LUMPUR, 1 Nov — Hasrat untuk menjadi rakyat sah Malaysia bagi beberapa individu akhirnya tercapai apabila menerima dokumen taraf kewarganegaraan negara ini dan bakal menikmati kemudahan sebagai warganegara setelah menunggu puluhan tahun. 

Bagi seorang suri rumah S. Vanitha Mani, 37, tiada apa yang dapat menggambarkan kegembiraannya apabila penantian hampir 20 tahun untuk menjadi rakyat sah negara ini akhirnya tercapai setelah beberapa kali permohonannya sebelum ini gagal disebabkan beberapa masalah dokumentasi.  

Vanitha Mani yang ditemani suaminya P. Arumugam, 45, tersenyum lebar apabila menerima Surat Kelulusan kewarganegaraan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam satu majlis yang diadakan di sini, semalam.

“Tiada kata yang dapat menggambarkan betapa gembiranya perasaan saya hari ini. Terima kasih kerana akhirnya saya diterima menjadi rakyat Malaysia.

“Tambahan pula, saya amat gembira kerana surat kelulusan kewarganegaraan saya diserahkan sendiri oleh seorang pemimpin yang berlainan bangsa, tidak meminggirkan kaum lain di negara ini. Kalau di India, nak jumpa pemimpin atau menteri secara dekat, hanya mimpi sahaja tetapi di sini, saya boleh tengok depan mata sahaja,” katanya kepada Bernama selepas majlis berkenaan.

Vanitha Mani yang berasal dari Karaikudi, India menetap di negara ini sejak berkahwin dengan suaminya yang merupakan rakyat Malaysia pada 1998 dan pasangan itu dikurniakan tujuh cahaya mata berumur enam hingga 19 tahun.

Katanya rakyat Malaysia sangat bertuah kerana sejak lahir pelbagai bantuan disediakan kerajaan, terutama dalam bidang kesihatan, pendidikan dan kebajikan pelbagai pinjaman yang disediakan untuk memulakan perniagaan. 

“Dulu kalau dapatkan rawatan di Klinik 1Malaysia, saya terpaksa membayar RM15 untuk rawatan namun bila jadi warganegara, hanya perlu bayar RM1 saja, “ katanya yang mendapat taraf penduduk tetap pada 2010.

Seorang doktor yang berkhidmat di sebuah klinik kesihatan di Taiping, Perak,  Dr Celine Soosai, 47, melahirkan rasa terharu kerana beliau juga akhirnya menjadi warganegara Malaysia selepas 47 tahun.

Beliau yang berasal dari Chennai, India dijadikan anak angkat sepasang suami isteri warganegara Malaysia dan dibesarkan di negara ini.

“Usaha saya untuk mendapatkan hak kewarganegaraan sering kali gagal setelah permohonan ditolak beberapa kali semenjak berusia 12 tahun sehinggalah saya menyambung pelajaran di India selama tujuh tahun.

“Sekembalinya saya ke negara ini, saya yang mempunyai kad pemastautin tetap telah berkhidmat di Hospital Ipoh sehinggalah bertukar ke Taiping. Akhirnya, usaha saya berbaloi setelah memohon kewarganegaraan menerusi inisiatif Mydaftar dan hari ini saya bergelar warganegara Malaysia,” katanya.

Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan (SITF) di bawah kendalian Unit Pembangunan Ekonomi Masyarakat India (SEDIC)  melaksanakan inisiatif Mydaftar sejak 2011.

Inisiatif Mydaftar Mega dilaksanakan pada awal tahun ini, selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Masyarakat India (MIB) untuk menyelesaikan isu kewarganegaraan dalam kalangan masyarakat India secara sepenuhnya.

Seramai 177 penerima Surat Kelulusan Kewarganegaraan  terdiri daripada masyarakat India yang lahir sebelum kemerdekaan negara, kelahiran tidak didaftarkan dan tidak mempunyai dokumen  pengenalan diri menerima surat berkenaan hari ini. — Bernama

Lagi Video di MMOTV