projekmmoBerita

10 beradik hampa, pusaka hangus dijilat api

Mangsa, Wan Othman Wan Dagang, 66, melihat rumah pusaka milik keluarganya musnah sama sekali dalam kebakaran hari ini. — Foto BernamaMangsa, Wan Othman Wan Dagang, 66, melihat rumah pusaka milik keluarganya musnah sama sekali dalam kebakaran hari ini. — Foto BernamaKUALA TERENGGANU, 8 Feb — Hasrat 10 beradik berbahagi harta pusaka tidak kesampaian apabila rumah pusaka mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Panji, Wakaf Beruas petang tadi.

Wan Othman Wan Dagang, 66, berkata beliau dan adik-beradiknya ingin membahagikan harta  pusaka peninggalan arwah ayahnya pada bulan puasa yang akan datang tetapi tidak sempat apabila kesemuanya musnah dalam kebakaran itu.

“Sayu rasa apabila kita tidak boleh melihat satu pun barang-barang peninggalan daripada orang tua kita kerana habis menjadi abu.

Mula-mula saya dengar letupan dan saya ingat ia bunyi mercun tapi pelik bila banyak kali dengar, lantas saya keluar untuk melihat apa yang berlaku dan terkejut bila tengok rumah pusaka kami terbakar,” katanya ketika ditemui pemberita di tempat kejadian.

Wan Othman yang merupakan saksi pertama yang melihat kebakaran tersebut pada awalnya meluru ke tempat kejadian kerana menyangka adiknya Wan Azhar,45, sedang tidur di rumah itu.

Beliau kemudian bertindak melaporkan kebakaran tersebut kepada pihak bomba.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar berkata  bomba menerima panggilan pada pukul 4.55 petang dan 18 anggota  serta tiga jentera diarahkan ke lokasi.

Menurut Rozizah pihak bomba mengambil masa tujuh minit untuk mengawal kebakaran dan berjaya menyelamatkan dua rumah berhampiran yang dianggarkan bernilai RM250,000 termasuk sebuah kereta jenis Perodua Axia yang dipakir di hadapan rumah daripada terbakar.

Kerugian kebakaran tersebut dianggarkan sebanyak RM100,000 dan punca kebakaran masih lagi dalam siasatan, katanya. — Bernama

Lagi Video di MMOTV