Zamihan nafi kritik sultan, polis tetap siasat kes hasut

Sebuah kedai dobi layan diri di Muar yang membenarkan pelanggan Islam sahaja. Foto ini menular di media sosial sejak minggu lepas. — Foto ihsan Facebook/Kelab Info MalaysiaSebuah kedai dobi layan diri di Muar yang membenarkan pelanggan Islam sahaja. Foto ini menular di media sosial sejak minggu lepas. — Foto ihsan Facebook/Kelab Info MalaysiaKUALA LUMPUR, 11 Okt ― Walau penceramah Zamihan Mat Zin menafikan beliau pernah mengkritik sultan, polis akan menyiasatnya bawah Akta Hasutan.

Dalam kenyataan pagi ini, pegawai Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) itu menafikan mengkritik sultan Johor yang murka isu kedai dobi “Muslim sahaja”.

Namun, menurut Harian Metro, polis membuka kertas siasatan terhadapnya, yang juga presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja).

Ketua polis negara Tan Sri Fuzi Harun berkata ustaz itu, didakwa menyentuh isu itu dalam ceramah di Shah Alam, disiasat bawah Seksyen 4 Akta Hasutan.

“Tangkapan belum dilakukan dan saya tidak akan mengulas lebih lanjut mengenainya,” katanya, yang memaklumkan satu aduan polis telah diterima.

Ahad lalu, Zamihan didakwa mengkritik Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung isu kedai dobi kontroversi di Muar yang tidak menerima pelanggan bukan Islam.

Menurut portal itu lagi, beliau juga didakwa menyentuh isu berbaur perkauman.

Namun penceramah sensasi itu menyatakan beliau “sama sekali tidak menyebut nama Tuanku Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.”

“Saya juga tidak menggunakan perkataan yang kasar, kesat atau elemen yang bersifat hasutan dalam ceramah berkenaan,” katanya lagi.

“Saya sedia untuk disiasat atas falsafah berani kerana benar dan takut kerana Allah.”

Zamihan, yang pernah menangani kes-kes militan Islam, juga berkata beliau “amat menyanjung tinggi” sultan, terutama sultan Johor.

“Adalah mustahil untuk saya menuturkan kata-kata yang bersifat memperlekeh atau menghina Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan sama sekali,” katanya.

Sementara itu Gerakan Hapuskan Akta Hasutan (GHAH) menganggap kenyataan Zamihan “bersifat jelek” namun menentang penggunaan Akta Hasutan terhadapnya.

Lagi Video di MMOTV