Tinjauan: Pengundi muda tidak peduli 1MDB, RUU 355

Ibrahim Suffian percaya umumnya generasi muda tahu hal-ehwal politik tetapi ramai tidak berminat terlibat dengannya. — Foto oleh Choo Choy May Ibrahim Suffian percaya umumnya generasi muda tahu hal-ehwal politik tetapi ramai tidak berminat terlibat dengannya. — Foto oleh Choo Choy May PETALING JAYA, 20 Sept — Pengundi muda bawah 30 tahun tidak mengambil berat isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pindaan Akta 355 (RUU 355).

Sebaliknya, menurut tinjauan Merdeka Center, mereka lebih mengutamakan masalah berkaitan ekonomi, kos sara hidup dan pekerjaan.

Daripada 604 responden berusia 21 hingga 30 tahun, hanya enam peratus prihatin isu besar 1MDB dan dua peratus lagi peduli isu pindaan kontroversi itu.

Dijalankan di Semenanjung Malaysia pada Ogos lalu, tinjauan itu bagaimanapun mendapati 34 peratus memandang berat masalah rasuah.

Mereka juga tidak mempedulikan politik, dengan hanya 30 peratus responden. Majoriti daripada mereka tidak percaya pada ahli politik.

Kira-kira 25 peratus berasa undi mereka tidak membawa apa-apa perubahan, sementara 71 peratus berasa mereka tidak berdaya mengubah tindakan kerajaan.

Bagaimanapun 51 peratus risau masalah inflasi dan 56 peratus rasa ekonomi rumah tangga mereka lebih merosot berbanding setahun lalu.

Kira-kira 65 peratus berasa sukar mendapat pekerjaan dan hanya 56 peratus yakin kekal dengan pekerjaan sekarang.

Pengarah badan kaji selidik itu Ibrahim Suffian berkata umumnya generasi muda Malaysia tahu hal-ehwal politik tetapi ramai tidak berminat dengan politik.

Beliau juga mencadangkan ahli politik membangkitkan isu berkaitan ekonomi yang diminati anak muda berbanding isu 1MDB yang dianggap sudah lama.

Baca seterusnya di Malay Mail Online.

Lagi Video di MMOTV