Sistem badan lemah, pesakit diabetes mudah kena difteria

Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya menasihatkan pesakit diabetes, kanser dan hepatitis B mendapatkan imunisasi bagi mengelak jangkitan difteria.— Foto oleh K.E. OoiDatuk Seri Dr Hilmi Yahaya menasihatkan pesakit diabetes, kanser dan hepatitis B mendapatkan imunisasi bagi mengelak jangkitan difteria.— Foto oleh K.E. Ooi

GEORGE TOWN, 18 Jul — Pesakit kencing manis, kanser dan hepatitis B diminta untuk lebih berhati-hati menjaga kesihatan bagi mengelak daripada terkena jangkitan penyakit lain termasuk difteria.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata mereka yang menghidap penyakit berkenaan lebih berisiko untuk dijangkiti penyakit lain.

“Saya mahu berpesan kepada mereka yang ada masalah kesihatan seperti kencing manis, kanser, hepatitis B dan sebagainya, untuk berhati-hati...lebih elok jika mereka pergi sendiri ke klinik kesihatan mendapatkan imunisasi.

“Ini kerana mereka yang ada penyakit ini mudah terjejas sistem imunnya, jika badan kita lemah, kita mudah dijangkiti penyakit sebegini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kem Integrasi Sains Malaysia-Thailand di Sekolah Kebangsaan Seri Relau di sini hari ini.

Mengulas perkembangan difteria, Dr Hilmi berkata pada masa ini sebanyak 15 kes dicatatkan di negara ini dengan lima kematian direkodkan.

“Ini satu perkara yang amat serius...15 kes dengan lima kematian. Di Melaka (tiga kes, satu kematian), Kedah (tujuh kes, satu kematian), Sabah (empat kes, tiga kematian) dan yang terbaru Negeri Sembilan satu kes. Difteria ini boleh dicegah jika masing-masing mendapat imunisasi,” katanya.

Mengenai perkembangan terkini seorang suri rumah dari Rembau, Negeri Sembilan yang disahkan positif difteria, Dr Hilmi berkata punca wanita berkenaan dijangkiti penyakit itu adalah daripada kanak-kanak yang menghidap difteria.

“Mungkin dia (wanita itu) berjangkit daripada orang lain, daripada kanak-kanak lain.

“Oleh kerana dia dewasa dan sudah mendapat imunisasi, maka kesan pada dirinya tidak seteruk seperti mereka yang tidak mendapat rawatan imunisasi.  Sekarang pesakit ini masih di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban dan keadaannya stabil,” katanya.

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan suri rumah berusia 41 tahun itu positif penyakit difteria, menjadikan ia kes pertama melibatkan orang dewasa di negara ini.

Terdahulu pada majlis itu, seramai 250 murid dari Malaysia dan Thailand menyertai kem integrasi selama tiga hari yang bertujuan membina semangat ASEAN dalam kalangan murid, sekali gus mendedahkan mereka kepada bidang sains dan teknologi.

Selain Pulau Pinang, program itu turut disertai murid dari Kedah dan Selangor. — Bernama

Lagi Video di MMOTV