SIS: Rotan di Kelantan bawa imej ‘hukuman tidak bertamadun’

Hukuman rotan terbuka di Kelantan akan menyebabkan golongan wanita dan miskin menjadi sasarannya seperti hudud di Acheh, Indonesia, kata SIS. — Foto AFPHukuman rotan terbuka di Kelantan akan menyebabkan golongan wanita dan miskin menjadi sasarannya seperti hudud di Acheh, Indonesia, kata SIS. — Foto AFPKUALA LUMPUR, 13 Julai — Hukuman rotan terbuka di Kelantan akan menyebabkan Malaysia dikenali sebagai negara yang menghukum dengan tidak bertamadun.

Sisters in Islam (SIS) juga berkata hukuman itu, yang diluluskan semalam, lebih bertujuan mengaibkan bukannya memulihkan pesalah syariah.

Kelantan meluluskan pindaan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002, antara lainnya membolehkan hukuman sebat dijalankan di khalayak ramai.

RUU itu juga memperuntukkan kuasa kepada penguatkuasa agama menggunakan gari ke atas suspek dan membenarkan video digunakan sebagai bahan bukti di mahkamah.

Dalam kenyataan membantah enakmen itu, SIS juga mendesak negeri itu mengemukakan fakta bahawa al-Quran memerintahkan hukuman rotan diadakan di khalayak umum.

“Kami mendesak kerajaan Kelantan mendedahkan di mana hukum dalam al-Quran yang mengarahkan hukuman seperti merotan depan orang awam?” katanya.

Versi Islam yang mahu ditegakkan itu “telah gagal menyelesaikan kemerosotan nilai etika dan moral”, kata badan itu lagi.

“Kelantan mempunyai kadar yang tinggi [kes] pornografi, rogol dan sumbang mahram,” kata SIS.

“[Tindakan] menekan, mengaibkan dan menghukum tidak akan membawa kepada nilai-nilai Islam yang lebih tinggi.”

Badan hak wanita itu juga berkata hukuman di Kelantan itu akan menyebabkan golongan wanita dan miskin menjadi sasarannya seperti hudud di Acheh, Indonesia.

SIS juga mendesak kerajaan negeri itu memansuhkan pindaan dan mematuhi Perkara 5 Perisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia yang menggariskan tiada siapa boleh dikenakan seksaan, hukuman kejam atau mengaibkan.

Lagi Video di MMOTV