Shaheizy Sam janji bayar cukai, nafi elak LHDN

Shaheizy Sam mempersoalkan tindakan LHDN mengisytiharkan dirinya muflis sedangkan dirinya tidak dimaklumkan tentang tunggakan. — Foto Choo Choy MayShaheizy Sam mempersoalkan tindakan LHDN mengisytiharkan dirinya muflis sedangkan dirinya tidak dimaklumkan tentang tunggakan. — Foto Choo Choy MayKUALA LUMPUR, 13 Ogos — Pelakon Shaheizy Sam menegaskan beliau bukan “penjenayah yang melarikan diri” sehingga dianggap mengelak membayar cukai.

Shaheizy, 35, mempersoalkan tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengisytiharkannya muflis sedangkan dirinya mendakwa tidak dimaklumkan tentang tunggakan.

“Adakah saya seperti penjenayah yang melarikan diri dan tidak dapat dicari? Saya masih boleh dihubungi tetapi kenapa memilih untuk menyiarkan notis itu kepada media?” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Pelakon Polis Evo itu dalam laporan Kosmo! pula mendakwa LHDN pernah hadir ke rumahnya pada 9 Mei dan 20 Julai lalu tetapi tidak diberitahu langsung tentang tunggakan cukai.

“Saya masih menunggu penjelasan LHDN kerana tiada notis dikeluarkan selama ini,” katanya yang sedia membayar tafsiran tunggakan.

“Sebagai warga Malaysia, saya tetap bayar cukai tetapi kena buat penilaian semula berhubung tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM300,000 itu.”

Katanya sebelum ini bayaran dibuat dan bukti resit diemelkan kepada badan berkanun itu.

“Cuma beberapa tahun kebelakangan ini, saya tidak bayar kerana membuat penilaian semula mengenai jumlah cukai memandangkan gaji pelakon tidak sama dengan gaji pekerja lain,” katanya.

Minggu lalu, satu keratan notis bankrap yang disiarkan di sebuah akhbar berbahasa Melayu tersebar dan menimbulkan persoalan terhadap status pelakon lelaki paling popular itu.

Lagi Video di MMOTV