Selepas lebih 60 tahun, PM lancar Felda 2.0

Felda Lurah Bilut kini menjadi bandar pintar dilengkapi pelbagai infrastruktur seperti capaian internet berkelajuan 4G dan jalur lebar gentian optik. — Foto BernamaFelda Lurah Bilut kini menjadi bandar pintar dilengkapi pelbagai infrastruktur seperti capaian internet berkelajuan 4G dan jalur lebar gentian optik. — Foto BernamaBENTONG, 5 Feb — Selepas lebih 60 tahun dibangunkan sehingga menjadi sebuah tanah rancangan paling berjaya di dunia, Felda terus mengorak langkah untuk mencapai masa depan yang lebih gemilang menerusi inisiatif Felda 2.0, yang dilancarkan Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

Perdana Menteri berkata inisiatif itu merupakan suatu gagasan idea untuk membangun dan menaik taraf kawasan tanah rancangan sedia ada, bagi menjadikannya lebih berdaya saing selaras dengan elemen komuniti pintar serta lestari.

“Jika Felda 1.0, kita menempa jaya, maka dengan Felda 2.0 ini, kita akan bersama melakar masa depan gemilang untuk berjaya dan terus berjaya, sampai ke puncaknya.

“Kepada warga peneroka dan generasi baharu Felda, ayuhlah kita bersatu dan berpadu kerana sesungguhnya Felda ini benteng kita, Felda ini legasi kita dan semestinya Felda inilah maruah dan tanggungjawab kita bersama,” katanya semasa berucap melancarkan inisiatif  itu Felda Lurah Bilut di sini.

Turut hadir Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Anggota Parlimen Bentong yang juga Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Najib berkata selama hampir 62 tahun penubuhan Felda, banyak kejayaan yang telah dikecapi oleh tanah rancangan itu dan dikongsikan bersama-sama peneroka dalam pelbagai bentuk insentif.

Beliau berkata pada tahun lepas sahaja, peneroka Felda menikmati jumlah keseluruhan RM691.09 juta insentif tunai dan bukan tunai yang telah dibayar dan direalisasikan.

“Misalnya, insentif Khas Tunai RM5,000 telah pun kita bayar kepada 88,732 peneroka, dengan jumlah yang telah dibayar sebanyak RM443.6 juta.

“Selain itu, insentif tunai bagi pelupusan sebahagian saham FGV juga dibayar kepada 2,715 peneroka atau waris yang layak dengan jumlah RM4.94 juta dan membayar RM73.75 juta kepada 94,555 orang peneroka untuk Dividen FGV yang dipegang oleh FELDA dan juga insentif duit raya,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata semasa Sambutan Hari Peneroka 2017 peringkat kebangsaan, beliau telah mengumumkan untuk membuka semula peluang bagi peneroka yang sudah tidak lagi bersama Felda, kembali bermuafakat dengan tanah rancangan itu.

Selepas enam bulan pengumuman itu dibuat, perdana menteri berkata  seramai 10,338 peneroka bersetuju kembali bermuafakat yang menjadikan peneroka yang berada di dalam sistem kewangan Felda kini berjumlah 105,294 orang atau 93.5 peratus daripada keseluruhan peneroka.

“Ini dilakukan kerana kita sebenarnya kasih dan tetap mahu membela nasib semua warga peneroka, agar mereka terus mendapat manfaat yang kita umumkan.

“Ini membuktikan Felda terus dipercayai dan diyakini oleh para peneroka yang setia, sekali gus menolak dakyah dan ‘cakap-cakap kosong’ kononnya peneroka sudah tidak lagi bersama pihak Kerajaan,” kata Najib.

Justeru itu, beliau berkata peneroka perlu memastikan tanah Felda bukan hanya sebagai tempat mencari rezeki tetapi menjadikannya sebagai tanah subur kekuatan politik kepada kerajaan sedia ada yang telah banyak membantu mereka.

“Pastikan pilihan raya akan datang, semua rakan Felda menggambarkan kekuatan, menterjemahkan impian Tun (Abdul) Razak menjadi kenyataan kita bersama,” kata beliau.

Dalam ucapannya, perdana menteri turut mengumumkan peruntukan RM50 juta kepada Felda bagi menjayakan inisiatif Felda 2.0 di lima tanah rancangan pada tahun ini.

Najib berkata kerajaan Barisan Nasional yang diterajui Umno bersedia meluluskan kuota ‘Feed-in-Tariff’ tenaga solar dengan jumlah keseluruhan 80 Megawatt bagi 16 rancangan pada 2018 dan 2019.

Bagi menghargai jasa dan sumbangan bakti peneroka Felda pula, beliau berkata seramai 11 ketua peneroka dari 11 Wilayah Felda yang telah lama berkhidmat dan belum pernah menunaikan ibadah Haji, akan ditawar mengikuti Program Khas Haji Perdana Menteri di bawah Yayasan 1MDB. — Bernama

Lagi Video di MMOTV