Selagi hayat dikandung badan, Zahid setia kepada Najib

Datuk Seri Najib Razak (kanan) bersalaman dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sesi ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra. ― Foto BernamaDatuk Seri Najib Razak (kanan) bersalaman dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada sesi ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Umno 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra. ― Foto BernamaKUALA LUMPUR, 9 Dis ― Timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melafazkan ikrar taat setia tidak berbelah bahagi terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Razak selaku perdana menteri dan Presiden Umno.

“Kesetiaan saya kepada presiden (Umno) tidak akan luntur selagi hayat dikandung badan,” kata naib presiden yang menjalankan tugas-tugas timbalan presiden Umno itu pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2017 di  Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.    

Ahmad Zahid yang juga menteri dalam negeri, turut berterima kasih kepada Najib kerana meletakkan seluruh kepercayaan kepada beliau bermula sebagai setiausaha politiknya pada 1987 hingga ke kedudukan beliau sekarang.

“Hubungan akrab ini membolehkan saya membantu beliau sejak dari dahulu lagi,” katanya.

Dalam ucapan kira-kira setengah jam itu, Ahmad Zahid turut mengajak semua perwakilan di dalam Dewan Merdeka tersebut untuk berdiri dan bersama-sama melafazkan ikrar kesetiaan kepada Presiden Umno berkenaan serta menanam iltizam untuk memastikan kemenangan cemerlang Umno dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Lagi Video di MMOTV