Sampel rambut dedah calon polis ambil dadah, kata Jazlan

Nur Jazlan berkata penting untuk memastikan individu yang mahu berkhidmat dalam pasukan polis tidak terlibat dalam apa jua aktiviti berkaitan dadah. ― Foto oleh Yusof Mat Isa Nur Jazlan berkata penting untuk memastikan individu yang mahu berkhidmat dalam pasukan polis tidak terlibat dalam apa jua aktiviti berkaitan dadah. ― Foto oleh Yusof Mat Isa JOHOR BAHRU, 30 Dis — Kaedah mengunakan sampel rambut untuk mengesan penggunaan dadah dalam kalangan individu yang ingin menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah lebih berkesan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata ia mampu mengesan sama ada individu terbabit pernah mengambil dadah dalam tempoh yang lama melalui sampel rambutnya.

Katanya, mekanisme itu lebih mantap berbanding ujian saringan air kencing.

“Kalau seseorang itu mengambil dadah terutama dadah organik, ia (dadah) akan tinggal dalam badan selama berbulan-bulan dan kesan dadah juga terdapat pada rambut dan tidak akan hilang.

“Dadah itu akan menjadi sebahagian daripada tubuh pengguna dadah dan kaedah menggunakan rambut ini merupakan ujian yang efektif untuk mengenal pasti mereka yang mengambil dadah,” katanya ketika ditemui pada Fiesta Sukan Rakyat Parlimen Pulai di Kompleks Sukan Hospital Permai di sini hari ini.

Nur Jazlan berkata penting untuk memastikan individu yang mahu berkhidmat dalam pasukan itu tidak terlibat dalam apa jua aktiviti yang boleh mengubah diri mereka termasuk dadah.

Beliau mengulas demikian berhubung rancangan untuk menggunakan kaedah itu dalam usaha mengesan penggunaan dadah dalam kalangan individu yang ingin menyertai PDRM mulai 2018.

Semalam, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi memberitahu sebanyak 25 peratus anggota polis terlibat dengan dadah sebelum menyertai pasukan itu.

Selain itu, pihaknya mendapati seramai 2,738 anggotanya terlibat dalam penyalahgunaan dadah sejak  2010 hingga November tahun ini.

Dalam perkembangan lain, beliau mengulas tujuan memohon ekstradisi terhadap suspek penyeludupan senjata api yang ditahan di Pakistan baru-baru ini, bagi menyiasat tujuan sebenarnya.

“Kita tidak boleh benar mana-mana rakyat Malaysia yang membuat kegiatan berbentuk keganasan untuk hidup bebas di negara lain.

“Ini kerana matlamat dia adalah untuk kembali ke Malaysia dengan tujuan membuat keganasan dan macam mana pun, dia rakyat kita (Malaysia), kita nak dia balik. Suspek akan disiasat dan didakwa mengikut perundangan negara,” katanya.

Pada 22 Disember lepas, seorang pemuda berasal dari Kuching, Sarawak ditahan kerana menyembunyikan empat pistol bersama lapan kelopak peluru dan 70 peluru pada kotak barangan dibawanya dan tapak kasut miliknya di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah, Karachi, Pakistan. — Bernama

Lagi Video di MMOTV