Reman exco P Pinang batal, SPRM mahu rayu

SPRM akan mengemukakan rayuan berhubung pembatalan perintah reman terhadap exco Pulau Pinang Phee Boon Poh yang dikeluarkan Mahkamah Majistret George Town. — Foto ihsan Facebook/Phee Boon PohSPRM akan mengemukakan rayuan berhubung pembatalan perintah reman terhadap exco Pulau Pinang Phee Boon Poh yang dikeluarkan Mahkamah Majistret George Town. — Foto ihsan Facebook/Phee Boon PohGEORGE TOWN, 14 Ogos — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengemukakan rayuan berhubung pembatalan perintah reman terhadap anggota exco kerajaan negeri Pulau Pinang Phee Boon Poh dan dua beranak yang dikeluarkan Mahkamah Majistret di sini, Sabtu lepas.

SPRM dalam satu kenyataan berkata pihaknya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini yang membatalkan tempoh reman selama lima hari yang dikeluarkan Mahkamah Majistret George Town, Sabtu lepas.

Menurutnya, SPRM tidak berpuas hati dengan keputusan yang telah dibuat Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Abdul Wahab Mohamed hari ini yang telah membatalkan perintah reman yang dikeluarkan Mahkamah Majistret itu dan akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan di Putrajaya.

“SPRM memandang serius perkara ini kerana keputusan tersebut juga telah menjejaskan proses siasatan oleh pasukan penyiasat yang sedang giat melengkapkan kertas siasatan berhubung penglibatan Phee dan dua lagi suspek yang disyaki terlibat dalam operasi kilang haram di tanah pertanian di Sungai Lembu, Penanti,” kata SPRM dalam kenyataan di sini hari ini.

Jumaat lepas, Phee yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar dan dua beranak itu ditahan bagi membantu siasatan ke atas kilang memproses serbuk kayu yang beroperasi di atas tanah pertanian selepas SPRM menyerbu kilang itu pada Khamis.

Isu berhubung kilang haram itu pernah dibangkitkan anggota Dewan Undangan Negeri Penanti daripada PKR Dr Norlela Ariffin pada persidangan Dewan Undangan Negeri yang mendakwa banyak kilang haram dibiar beroperasi di Penanti tanpa tindakan lanjut oleh kerajaan negeri. — Bernama

Lagi Video di MMOTV