Premis sembelih ayam kotor, lapan tahun tiada tauliah

Jaip berkata pada masa ini hanya nasihat diberikan kepada pemilik memandangkan mereka bukan pemegang sijil halal. ― Foto ihsan Facebook/Muhammad IskandarJaip berkata pada masa ini hanya nasihat diberikan kepada pemilik memandangkan mereka bukan pemegang sijil halal. ― Foto ihsan Facebook/Muhammad IskandarKUANTAN, 1 Mac ― Jijik dan busuk, itu perkataan yang sesuai untuk menggambarkan keadaan sebuah premis penyembelihan ayam di Jalan Kuantan-Segamat di sini, yang terletak di dalam ladang kelapa sawit. 

Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) Badaruddin Ahmad Bustami berkata premis itu dipercayai telah beroperasi sejak lapan tahun tanpa lesen penyembelihan yang ditauliah jabatan berkenaan. 

“Pemeriksaan yang dilakukan mendapati semua pekerja yang terlibat dengan penyembelihan ayam di situ tidak mempunyai sijil tauliah dan beroperasi tanpa pengawasan Jaip. 

“Kita pernah melakukan operasi di premis ini beberapa kali sepanjang tempoh ia beroperasi. 

“Mereka ada mengemukakan permohonan kepada Jaip, namun tidak diluluskan kerana gagal melepasi ujian dan standard yang ditetapkan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Badaruddin berkata Jaip sekali lagi membuat serbuan terhadap premis itu pada pukul 3 pagi tadi, melibatkan tujuh pegawai selepas menerima aduan orang awam.  

Katanya pemeriksaan juga mendapati tahap kebersihan premis berkenaan berada pada tahap teruk apabila terdapat ayam yang sudah busuk disimpan di dalam bilik sejuk beku bersama-sama ayam yang sudah disembelih. 

Selain itu, alatan penyembelihan juga didapati tidak dicuci dan diurus dengan baik di premis itu, yang dipercayai membekalkan ayam di kawasan sekitar daerah ini, katanya. 

Badaruddin menambah buat masa ini, Jaip hanya boleh memberi nasihat kepada pemilik dan pengurus premis itu memandangkan mereka bukan pemegang sijil halal dan berharap agensi terlibat dapat mengambil tindakan sewajarnya. 

“Kita menasihatkan pengguna untuk berhati-hati apabila membeli ayam di pasaran dan pastikan pembekal ayam itu memegang sijil halal supaya sembelihan adalah mengikut hukum syarak dan terjamin kebersihannya,” katanya. ― Bernama

Lagi Video di MMOTV