PPIM bantu penjawat awam, elak maklumat sulit bocor

Nadzim berkata membawa kes ke mahkamah perlu menggunakan wang yang banyak dan tidak dapat diselesaikan dalam masa singkat. ― Foto-foto oleh Choo Choy MayNadzim berkata membawa kes ke mahkamah perlu menggunakan wang yang banyak dan tidak dapat diselesaikan dalam masa singkat. ― Foto-foto oleh Choo Choy May

KUALA LUMPUR, 3 Ogos ― Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) perlu mengambil tindakan agresif bagi mengelak penjawat awam mengancam kedaulatan negara.

Ketua aktivisnya berkata penjawat awam yang terlibat dengan pelbagai masalah kewangan berpotensi menjadi dalang kegiatan jenayah dalam negara.  

“Kita bimbang mereka ini penjawat awam. Sesetengah mereka daripada kastam dan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). 

“Bila mereka pinjam ah long kemudian tidak mampu bayar, ah long boleh minta apa sahaja contohnya maklumat sulit. 

“Jadi mereka [penjawat awam] boleh jual maklumat tersebut. Kita tidak mahu ada penjawat awam yang sebegini.

“Ah long boleh kata tidak perlu bayar tetapi berikan mereka apa yang mereka mahu,” kata Datuk Nadzim Johan dalam satu wawancara bersama ProjekMMO.

PPIM antara badan bukan kerajaan (NGO) yang giat menyelesaikan kemelut pinjaman wang mengenakan kadar faedah tinggi.

Pengarah UTK PPIM Yusuf Azmi kini memperjuangkan nasib 15 pengusaha stesen minyak yang bakal gulung tikar. Pengarah UTK PPIM Yusuf Azmi kini memperjuangkan nasib 15 pengusaha stesen minyak yang bakal gulung tikar. Dengan tertubuhnya Unit Tindakan Khas (UTK) di bawah pimpinan Yusuf Azmi, NGO ini mampu bergerak ke akar umbi bagi menyelesaikan masalah pengguna.

UTK minggu lalu berjaya menyelesaikan kemelut pajakan kereta dan kini memperjuangkan nasib 15 pengusaha stesen minyak yang bakal gulung tikar.

Nadzim berkata walaupun tindakan PPIM tidak direstui pihak tertentu namun nasib pengguna yang tertindas perlu ditegakkan.

“Kami mahu menghantar isyarat kepada pihak tertentu, jangan menipu kerana tidak berbaloi.   

“Kami boleh lakukan apa sahaja. Berunding dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Baitulmal. Kami gunakan strategi Lautan Biru. 

“Sesetengah masalah itu boleh diselesaikan dengan satu panggilan telefon, jadi tidaklah berat mana,” katanya.

Ditanya mengapa PPIM enggan menggunakan jalan perundangan yang betul seperti memfailkan kes di mahkamah, Nadzim berkata banyak sumber perlu digunakan.

Katanya, membawa kes ke mahkamah perlu menggunakan wang yang banyak dan tidak dapat diselesaikan dalam masa singkat.

“Seperti kes rumah lelong, jika mahu mendapatkan peguam, bukan mudah. Bayar RM10,000 untuk buka fail. Apatah lagi jika kes itu gagal diselesaikan.

“Bertahun-tahun belum tentu selesai. Belanjanya pun cukup besar. Jadi kami perlu cari jalan penyelesaian yang kreatif,” katanya. 
 

Lagi Video di MMOTV