Pindaan POCA lebih efektif banteras jenayah, kata Zahid

Ahmad Zahid Hamidi berkata POCA melalui beberapa pindaan supaya lebih efektif membanteras jenayah. — Foto BernamaAhmad Zahid Hamidi berkata POCA melalui beberapa pindaan supaya lebih efektif membanteras jenayah. — Foto BernamaPUTRAJAYA, 15 Ogos — Akta Pencegahan Jenayah (POCA) telah ditambah baik melalui beberapa pindaan supaya lebih efektif membanteras jenayah terutama jenayah terancang dan jenayah sindiket yang menggunakan kekerasan dan keganasan serta bersesuaian dengan perkembangan semasa.

Timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga menteri dalam negeri berkata POCA dikuatkuasakan sejak 1959 untuk pencegahan jenayah di Semenanjung Malaysia terutama bagi mengawal penjenayah, anggota kongsi gelap dan individu yang mengancam keselamatan negara.

Beliau berkata POCA (Pindaan dan Pemerluasaan) 2014 yang diberi “nafas baharu” kepada POCA 1959 adalah lebih efektif dari segi keberkesanan dalam mencegah jenayah kekerasan dan dapat mengimbangi hak asasi manusia seiring dengan keselamatan dan keamanan negara.

“Kita mempunyai obligasi untuk memastikan pindaan-pindaan terhadap POCA 1959 lebih mantap, lebih baik,” katanya ketika mengimbau mengenai perjalanan penggubalan POCA ketika melancarkan buku “POCA:Nafas Baharu Banteras Jenayah” karya beliau di sini hari ini.

Beliau berkata Malaysia mencapai tahap keselamatan yang terkawal sejak penguatkuasaan POCA (Pindaan dan Pemerluasaan) dari 2014 hingga hari ini, dengan kadar jenayah dilaporkan turun sebanyak 47 peratus. — Bernama

Lagi Video di MMOTV