Perak, Felda ‘balas dendam’ mara ke separuh akhir

Pemain Perak Mohamad Zaquan Adha Abd Razak (kiri) merembat bola sambil dihadang pemain Pahang Francisco Insa Bohigues (tiga, kanan) pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Perak malam tadi. ― Foto BernamaPemain Perak Mohamad Zaquan Adha Abd Razak (kiri) merembat bola sambil dihadang pemain Pahang Francisco Insa Bohigues (tiga, kanan) pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Perak malam tadi. ― Foto BernamaKUALA LUMPUR, 25 Sept ― Juara bertahan, Kedah mengetuai kemaraan empat pasukan ke separuh akhir Piala Malaysia selepas berakhirnya aksi suku akhir kedua, malam tadi.

Kedah yang memburu kejuaraan keenam Piala Malaysia menang tipis 1-0 ke atas Selangor pada aksi suku akhir kedua di Stadium Darul Aman, Alor Setar untuk mara dengan kemenangan agregat 4-2.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh pemain import dari Brazil, Sandro da silva Mendonca yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-29 selepas Ken Ilso Larsen dijatuhkan di dalam kotak penalti oleh pemain Selangor.

Untuk rekod, Kedah menang tipis 3-2 ke atas Selangor pada aksi suku akhir pertama di Stadium Majlis Perbandaran Selayang pada 15 September lepas.

Juara tujuh kali, Perak pula menampilkan aksi cemerlang di laman sendiri menerusi kemenangan bergaya 4-0 ke atas Pahang di Stadium Perak, Ipoh dan mara ke separuh akhir menerusi keputusan agregat 5-3. 

Perak yang tewas 1-3 kepada Pahang pada aksi suku akhir pertama di Stadium Darul Makmur, Kuantan, 16 September lepas, bermula garang menerusi jaringan pembukaan pemain import dari Brazil, Gilmar Jose da Silva Filho seawal minit kedua perlawanan sebelum beliau sekali lagi melakar gol peribadi kedua pada minit ke-63.

D Kenny Pallraj menjaringkan gol ketiga untuk pasukan tuan rumah pada minit ke-77 sebelum Mohd Nazrin Nawi memastikan tiket separuh akhir menjadi milik Perak dengan gol keempat pada minit ke-90.

Skrip yang sama turut berlaku di Stadium Shah Alam apabila Felda United bangkit mencatat kemenangan bergaya 4-1 ke atas wakil Liga Perdana, PKNP FC, sekali gus layak ke separuh akhir dengan kemenangan agregat 5-4.

Felda United yang tewas 1-3 kepada PKNP FC pada aksi suku akhir pertama di Stadium Perak, 15 September lepas, bagaimanapun dikejutkan dengan gol pembukaan pemain import pelawat, Kim Hyeon Woo seawal minit kelapan perlawanan.

Felda United bagaimanapun bangkit meraih tiga gol dalam tempoh 10 minit, masing-masing menerusi Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-35 dan 44 serta gol pemain import dari Nigeria, Ifedayo Olusegun Patrick Omosuyi pada minit ke-37.

 Zah Rahan Krangar kemudiannya mengesahkan kemaraan skuad ‘The Fighters’ ke separuh akhir menerusi gol keempat pada minit ke-47.

 

Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) pula sekadar mencatat keputusan seri 1-1 berdepan Melaka United di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Johor Bahru namun layak ke separuh akhir menerusi keputusan agregat 5-2.

Pada aksi berkenaan, JDT terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Muhammad Nazmi Faiz Mansor pada minit ke-20 sebelum Felipe de Almeida Souza menyamakan kedudukan untuk Melaka United pada minit ke-43.

Untuk rekod, JDT menang bergaya 4-1 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 15 September lepas. ― Bernama

Lagi Video di MMOTV