Pengadu SPRM, RoS dan CCID turut dilindungi, kata hakim

Hakim berkata tiada beza ketara di antara aduan yang dibuat kepada polis dan aduan atau kepada tiga agensi itu. — Paparan skrin Google Hakim berkata tiada beza ketara di antara aduan yang dibuat kepada polis dan aduan atau kepada tiga agensi itu. — Paparan skrin Google PUTRAJAYA, 7 Ogos — Mahkamah Persekutuan memutuskan laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) dan Pendaftar Pertubuhan (RoS) dilindungi keistimewaan mutlak.

Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Wira Aziah Ali berkata SPRM (sebelum ini dikenali Badan Pencegah Rasuah (BPR), CCID (sebelum ini dikenali Bahagian Jabatan Jenayah Komersial) dan RoS berkongsi ciri sama iaitu diberikan kuasa statutori untuk menyiasat dan mengambil tindakan sesuai mengikut undang-undang terhadap mereka yang melanggar peraturan undang-undang yang terpakai untuk masing-masing.

Beliau berkata tiada perbezaan ketara di antara aduan atau laporan yang dibuat kepada polis dan aduan atau laporan dibuat kepada tiga agensi itu.

“Tujuannya (membuat laporan) adalah untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa berkenaan tentang perbuatan yang didakwa melanggar undang-undang dan untuk membolehkan siasatan dilakukan dan, jika sesuai, mengambil tindakan perlu terhadap pihak yang didakwa melakukan perbuatan salah,” katanya dalam penghakiman setebal 35 muka surat.

Hakim Aziah yang menyampaikan keputusan sebulat suara panel lima anggota Mahkamah Persekutuan berkata nisbah dalam kes autoriti undang-undang dalam kes Lee Yoke Ham yang menetapkan bahawa laporan polis dilindungi oleh keistimewaan mutlak, patut diguna pakai terhadap laporan dibuat kepada ketiga-tiga agensi berkenaan.

Panel hakim itu dipengerusikan Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop. Turut bersidang ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan dua Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Hasan Lah dan Tan Sri Ramly Ali.

“Kami mendapati tiada alasan untuk tidak mengguna pakai keputusan dalam kes Lee Yoke Ham.

“Ia mahu mahkamah ini menegaskan bahawa, di Malaysia, atas pertimbangan dasar awam, satu laporan polis adalah dilindungi oleh keistimewaan mutlak,” katanya semasa membenarkan empat rayuan dikemukakan oleh bekas Presiden Persatuan Olahraga Chin Woo Selangor dan Kuala Lumpur Datuk Dr Low Bin Tick dalam saman fitnah.

Hakim Aziah berkata pembelaan keistimewaan mutlak terpakai apabila kepentingan utamanya adalah demi untuk pentadbiran keadilan dan pertimbangan dasar awam bahawa mereka yang mempunyai aduan bebas untuk membuat laporan.

Datuk Chong Tho Chin, seorang lagi bekas presiden persatuan itu telah memfailkan empat saman fitnah terhadap Dr Low pada 2007 dan Yap Hon Kong, bekas setiausaha agung persatuan itu.

Dalam pernyataan tuntutannya, Chong, yang merupakan presiden Chin Woo dari 1991 hingga 2001, mendakwa Dr Low yang merupakan presiden dari 2001 hingga 2005, telah membuat aduan tidak berasas dan berunsur fitnah terhadapnya dalam surat kepada pihak berkuasa seperti Jabatan Siasatan Jenayah Komersial  polis Kuala Lumpur, BPR dan RoS pada 2005.

Pada 26 Jun, 2012, Mahkamah Tinggi memerintahkan Dr Low membayar RM500,000 sebagai ganti rugi kepada Chong dan Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 3 Dis, 2014.

Dr Low mendapat kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan pada 6 Okt, 2015 untuk mahkamah itu meneliti lima soalan undang-undang. — Bernama 

Lagi Video di MMOTV