Pelajar cedera dakwa didenda beratus kali tidak serah tugasan

Shamsudin berkata anaknya tidak bermaya kerana mengadu sakit paha dan tidak boleh berjalan sebelum dihantar ke Hospital Umum Sarawak. — Paparan skrin GoogleShamsudin berkata anaknya tidak bermaya kerana mengadu sakit paha dan tidak boleh berjalan sebelum dihantar ke Hospital Umum Sarawak. — Paparan skrin GoogleKUCHING, 23 Julai — Otot paha seorang pelajar terkoyak dan tisunya rosak selepas didenda guru wanita subjek pendidikan sivik pada Selasa.

Muhammad Nur Haikal Shamsudin mendakwa didenda ketuk ketampi, lompatan ‘squat’, tekan tubi dan ‘sit up’ kerana tidak menyerah tugasan subjek itu.

Guru itu, didakwa turut mendenda pelajar lain dengan hukuman yang sama sebanyak ratusan kali, selama sejam bermula 11.20 pagi, lapor Harian Metro.

Bapa Shamsudin Seri, 42, berkata anaknya tidak bermaya kerana mengadu sakit paha dan tidak boleh berjalan sebelum dihantar ke Hospital Umum Sarawak.

“Anak saya tidak mahu menceritakan apa yang menimpanya namun selepas dipujuk, dia akhirnya memaklumkan didenda guru kerana tidak menghantar tugasan,” dia dilaporkan berkata.

Susulan itu, ibu mangsa membuat aduan berhubung tindakan guru itu, yang tidak sepatutnya berlaku, di Balai Polis Gita, pada Jumaat.

“Saya serahkan kes ini untuk tindakan selanjutnya kepada polis dan berharap penyelesaian dapat diperoleh secepat mungkin,” kata bapa mangsa.

Ketua polis Sarawak Datuk Dev Kumar pula berkata pihaknya sedang menyiasat kejadian itu. Jabatan Pendidikan negeri turut maklum mengenai insiden itu.

Pengarah Pendidikan Sarawak Rakayah Madon berkata guru wanita itu boleh diambil tindakan tatatertib jika melakukan tindakan itu.

“Ini bukan kes dera tetapi kes mendidik melampau yang dilakukan guru sekolah berkenaan,” katanya seperti dilapor akhbar sama. 

Lagi Video di MMOTV