Nenek 79 tahun jadikan perpustakaan ‘rumah kedua’

Sekumpulan murid sekolah rendah berkunjung ke perpustakaan awam di Johor Baru pada 29 Mei 2017. ― Foto ihsan Facebook/Perbadanan Perpustakaan Awam Johor Sekumpulan murid sekolah rendah berkunjung ke perpustakaan awam di Johor Baru pada 29 Mei 2017. ― Foto ihsan Facebook/Perbadanan Perpustakaan Awam Johor SEGAMAT, 2 Dis ― Seorang wanita tidak mensia-siakan zaman emasnya di rumah tetapi terus gigih menambah pengetahuan di perpustakaan awam.

Arbi Hamid, 79, menjadikan perpustakaan di Felda Medoi dekat sini sebagai “rumah kedua” untuk membaca dan melayar internet, lapor Sinar Harian.

“Apa yang mak cik lakukan ini seolah-olah mengembalikan masa lampau mak cik di zaman kanak-kanak kerana dulu mak cik tak berpeluang untuk belajar tinggi.

“Hanya setakat Darjah Lima saja sebab faktor ekonomi keluarga,” katanya kepada akhbar itu ketika ditemui di perpustakaan tersebut.

Di perpustakaan sejauh 1.5 kilometer dari rumah, Arbi suka memilih buku-buku agama, termasuk meminjam untuk dibaca di kediamannya.

Sudah menjadi amalan harian Arbi untuk ke premis itu mulai 12 tengah hari sebelum pulang untuk solat zuhur dan berada di situ sehingga ia ditutup.

Sejak lima tahun lepas, beliau dibantu anaknya Atikah Md Jidi, 40, yang juga petugas di perpustakaan itu, untuk datang dengan membonceng basikal.

“Pertama kali ibu datang ke sini [perpustakaan] kira-kira lima tahun lalu dengan mengayuh basikal,” katanya, yang mulanya terkejut melihat ibunya di situ.

“Sekarang saya akan membonceng ibu sekiranya dia nak datang ke perpustakaan.”

Kemudahan tersebut di tanah rancangan ini disediakan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Johor.

Lagi Video di MMOTV