Motor dirampas, lelaki dibunuh pesakit mental

TUMPAT, 5 Okt — Seorang lelaki ditemui mati dipercayai dibunuh berhampiran tali air di Kampung Ana di sini, malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan ACP Mohd Fakri Che Sulaiman berkata mayat mangsa dikenali sebagai Mohd Khairi Mohd Yusof, 47, ditemui dengan kecederaan parah di kepala pada 10 malam tadi.

Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berumur 29 tahun yang dipercayai mengalami masalah mental, bagi membantu siasatan kes penemuan mayat berkenaan, katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Fakri berkata terdahulu, polis menerima maklumat daripada penduduk kampung yang curiga selepas melihat suspek dengan bajunya berlumuran darah menunggang motosikal mangsa. 

“Berdasarkan maklumat awam, suspek berhenti di sebuah kedai makan sebelum berlaku pertengkaran dengan orang kampung yang curiga dengan gelagatnya,” katanya.

Susulan pertengkaran itu suspek melarikan diri dengan menunggang motosikal mangsa dan penduduk yang curiga dengan hal tersebut bertindak membuat laporan polis.

“Suspek ditahan oleh polis kira-kira tiga kilometer dari lokasi pembunuhan,” katanya.’

Beliau berkata suspek kemudian membawa polis ke lokasi kejadian dan pemeriksaan polis menemukan mayat mangsa yang juga penduduk kampung berkenaan, dalam keadaan terlentang dengan kesan berdarah di kepala. 

“Siasatan awal polis mendapati suspek yang berasal dari kampung sama memiliki dua rekod lampau berkaitan dadah. 

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya. — Bernama

Lagi Video di MMOTV