MB: Peneroka hidup selesa, hargai jasa pemimpin lama

Mohamad berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha pembangunan Felda meskipun segala urus tadbirnya diuruskan badan itu sendiri. — Foto ihsan Facebook/Mohamad HasanMohamad berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha pembangunan Felda meskipun segala urus tadbirnya diuruskan badan itu sendiri. — Foto ihsan Facebook/Mohamad HasanJEMPOL, 27 Sept — Peneroka tanah rancangan Felda perlu bersyukur kerana telah menikmati kehidupan yang selesa ketika ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata keselesaan yang dikecapi mereka pada hari ini adalah hasil perjuangan pemimpin negara terdahulu dalam menstrukturkan masyarakat khususnya masyarakat di luar bandar.

“Sayangilah perjuangan pemimpin terdahulu dan inilah sebenarnya hasrat mengapa Felda diwujudkan kerana nak menstruktur masyarakat.

“Jagalah harta kita...geran hak milik yang diberi, jaga dengan baik untuk diturunkan kepada anak-anak,” katanya dalam ucapan pada majlis penyampaian geran hak milik tanah peneroka Felda Serting Hilir 1 dan 5 di sini, semalam.

Turut hadir anggota Dewan Undangan Negeri Serting Datuk Shamsulkahar Mohd Deli.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha pembangunan Felda meskipun segala urus tadbirnya diuruskan badan itu sendiri.

“Dari segi jalannya, perumahannya adalah di bawah Felda. Kerajaan negeri pernah menawarkan tanah untuk dibangunkan rumah generasi kedua.

“Namun begitu, kerajaan negeri tidak boleh campur kerana Felda ini badan berkanun dan mempunyai akta Parlimennya sendiri. Kita di pihak kerajaan negeri akan membantu apa yang boleh,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 327 peneroka Felda Serting Hilir 1 dan 5 menerima geran hak milik tanah masing-masing.

Menteri besar juga turut menyerahkan replika cek Insentif Khas Peneroka Felda berjumlah keseluruhannya RM67 juta kepada Ketua Peneroka Negeri Sembilan Othman Parman.

Seramai 13, 497 peneroka di Felda Wilayah Raja Alias akan menerima insentif khas tersebut dan ia dilaksanakan secara berperingkat dengan setiap keluarga memperoleh RM5,000. — Bernama

Lagi Video di MMOTV