Jamil Khir: Sebat di penjara penuhi ‘khalayak’ dalam Islam

Seorang wanita Aceh, yang melaksanakan hukuman hudud, disebat di khalayak umum di Banda Aceh, 12 Jun 2015. — Foto AFPSeorang wanita Aceh, yang melaksanakan hukuman hudud, disebat di khalayak umum di Banda Aceh, 12 Jun 2015. — Foto AFPYAN, 15 Julai — Menteri agama membayangkan tidak perlu hukuman sebat di khalayak awam untuk melaksanakan enakmen jenayah syariah Kelantan. 

Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata sebat di penjara menepati takrif “khalayak” menurut Islam kerana saksi melebihi dua orang, lapor Bernama.

“Dalam penjara itu sudah lebih dua orang termasuk dengan doktor yang datang melihat, pegawai (penguatkuasa) agama, pengiring pesalah serta petugas lain,” kata menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau juga menggesa pindaan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Kelantan 2002 baru-baru ini tidak dipolemikkan kerana ia tidaklah ganjil. 

Jamil Khir juga menegaskan lagi pula hukuman itu hanya dilaksanakan terhadap pesalah Islam.

“Jangan jadikan isu... amalan ini sudah pun berlaku di luar dari penjara macam di Tawau [Sabah],” katanya.

“[Tetapi] ramai tidak faham hukuman berdasarkan syariah hanya melibatkan orang Islam.”

Pada Rabu, Dewan Undangan Negeri Kelantan meluluskan pindaan enakmen tersebut, antara lain membolehkan sebatan dijalankan di depan orang ramai.

Pindaan itu turut memperuntukkan kuasa kepada penguatkuasa agama menggari suspek, selain video boleh digunakan sebagai bahan bukti di mahkamah.

Semalam, ketua hakim syarie Sabah berkata dua pesalah disebat di dewan mahkamah syariah Tawau yang disaksikan mereka yang hadir di mahkamah tahun lepas.

Lagi Video di MMOTV