Interpol keluar notis merah tangkap suspek kes Jong-nam

Kim Jong-nam maut diracun di lapangan terbang klia2 pada 13 Februari lalu sementara menunggu penerbangannya ke Macau, China. — Foto ReutersKim Jong-nam maut diracun di lapangan terbang klia2 pada 13 Februari lalu sementara menunggu penerbangannya ke Macau, China. — Foto ReutersPUTRAJAYA, 16 Mac — Polis Malaysia telah mendapat Notis Merah Interpol bagi penangkapan empat warga Korea Utara berhubung pembunuhan Kim Jong-nam, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

"Kami telah mendapat notis daripada Interpol ke atas mereka dan kami berharap dapat menangkap mereka melalui Interpol," katanya mengenai perkembangan terkini siasatan yang sedang dijalankan berhubung kes pembunuhan Jong-nam.

Notis merah Interpol merupakan instrumen paling hampir bagi waran penangkapan antarabangsa yang digunakan hari ini.

Jong-nam, abang pemimpin tertinggi Korea Utara Kim Jong-un, didakwa dibunuh dua wanita warga asing yang menyapu mukanya dengan agen saraf VX ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Februari untuk menaiki pesawat ke Macau.

Jong-nam, yang memiliki pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Dua wanita warga asing — Siti Aisyah, 25, warga Indonesia, dan Doan Thi Huong, 29, warga Vietnam didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 1 Mac lalu berhubung kes itu.

Semasa ditemui pemberita pada majlis penutup Persidangan Antarabangsa mengenai Rohingya di sini hari ini, Khalid berkata, keempat-empat suspek Korea Utara itu dipercayai berada di Pyongyang sekarang.

Beliau berkata kesemua suspek terbabit berada di KLIA2 semasa kejadian dan telah meninggalkan Malaysia.

Keempat-empat lelaki yang dikehendaki itu adalah Rhi Ji-hyon, 33, Hong Song-hac, 34, O Jong-gil, 55, dan Ri Jae-nam, 57.

Mereka telah memasuki Malaysia secara berasingan beberapa hari sebelum pembunuhan itu.

Khalid berkata mayat Jong Nam telah diserahkan kepada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Luar untuk diuruskan. — Bernama

Lagi Video di MMOTV