Hilang malu punca amal rasuah dan riba, kata khutbah Jakim

Wang tunai berjumlah RM1.1 juta yang ditemui SPRM tersorok dalam dinding bilik tidur rumah seorang penolong jurutera di Kampung Sungai Daun, Guar Cempadak, Alor Setar 19 Januari 2017. — Foto BernamaWang tunai berjumlah RM1.1 juta yang ditemui SPRM tersorok dalam dinding bilik tidur rumah seorang penolong jurutera di Kampung Sungai Daun, Guar Cempadak, Alor Setar 19 Januari 2017. — Foto BernamaKUALA LUMPUR, 24 Feb — Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini mengingatkan umat Islam agar menjauhi rasuah dan amalan riba yang berpunca daripada hilangnya rasa malu.

Khatib melalui khutbah hari ini berkata mereka yang melakukan perbuatan berkenaan bukan sahaja hilang rasa malu pada Allah tetapi juga sesama manusia.

“Riba menyebabkan cahaya sifat malu menjadi malap dan akhirnya terpadam dalam kehidupan manusia.

“Apa yang menyedihkan masih ada segelintir masyarakat menganggap riba itu sama sahaja dengan jual beli.

“Ada pula yang menganggap rasuah itu sebagai jalan mudah untuk mengecap kekayaan dunia sehingga melakukan dosa malah menjejaskan reputasi umat Islam.

“Angkara perbuatan ini, tercabutlah sedikit demi sedikit sifat malu dari dalam diri seseorang,” kata khatib melalui khutbah bertajuk “Sifat Malu Benteng Mencegah Kemaksiatan.”

Mimbar berkata sifat malu memberi banyak manfaat kepada manusia terutama dalam membentengi diri daripada terjerumus ke lembah kemaksiatan.

Katanya, sejak kebelakangan ini sifat malu sudah mula ditinggalkan segelintir masyarakat kerana beranggapan maksiat tersorok tidak diketahui orang.

“Lebih-lebih lagi sekiranya maksiat yang dilakukan dianggap dosa peribadi yang tidak perlu dipertikaikan oleh orang lain.

“Saat ini, mereka seolah-olah terlupa bahawa setiap amal mereka dicatat dan dirakam oleh malaikat yang diutus oleh Allah.

“Mereka yang merasa malu kepada Allah akan bertindak menjauhi segala larangan-Nya dalam semua keadaan sama ada dilihat mahupun tidak,” katanya.

Khatib berkata manusia belum dikira sempurna akhlaknya selagi belum bersifat dengan sifat malu.

Katanya, ulama bersepakat bahawa sifat malu itu adalah sebaik-baik sifat yang harus dimiliki oleh manusia yang waras fikirannya dan lurus perjalanannya.

“Kita juga perlu merasa malu kepada manusia. Dengan ini diharapkan sifat malu tersebut dapat mencegah kita dari perbuatan yang tidak selayaknya kita lakukan.

“Seperti menyebar fitnah, menjadi batu api dan segala maksiat yang lain.

“Diharapkan agar sifat malu yang terpuji mampu mencegah seseorang daripada perbuatan maksiat dan mendorong ke arah pelbagai kebaikan,” katanya.  

Lagi Video di MMOTV