Hakim tetapkan lokasi sebat, tempat awam ‘bukan stadium’

Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menjelaskan hukuman depan khalayal ― yang sering dipertikaikan ― bukan bermaksud tempat awam seperti stadium. ― Foto Reuters  Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menjelaskan hukuman depan khalayal ― yang sering dipertikaikan ― bukan bermaksud tempat awam seperti stadium. ― Foto Reuters KOTA BARU, 19 Julai ― Lokasi hukuman sebat yang bakal diperkenalkan di Kelantan akan ditentukan hakim dan tidak semestinya ia dijalankan di stadium.

Timbalan menteri besar Kelantan berkata kerajaan tidak campur dalam penentuan lokasi, sebaliknya terpulang kepada keputusan mahkamah, lapor Utusan Online.

Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menjelaskan hukuman di tempat terbuka ― yang sering dipertikaikan ― bukan bermaksud tempat awam seperti stadium.

“Terdapat perbezaan antara istilah tempat terbuka dengan ‘in public’, ini yang selalu orang keliru,” katanya.

Tambahnya, hukuman dibuat secara terbuka kerana ia dinyatakan dalam kitab agama dan pandangan ulama.

Baru-baru ini Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan pindaan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002, termasuk hukuman di depan khayalak awam.

Pindaan itu, diluluskan pada 12 Julai lalu, turut memperuntukkan kuasa kepada penguatkuasa menggari suspek, selain video boleh digunakan sebagai bahan bukti.

Sebelum ini, ketua hakim syariah Kelantan pernah berkata hukuman di depan khalayak akan dibuat di masjid atau stadium.

Datuk Daud Mohamad berkata kaedah sebatan pula mengekalkan pendekatan penjara sedia ada termasuk cara sebatan, jenis dan ukuran rotan.

Namun, menteri hal-ehwal agama membayangkan tidak perlu hukuman sebat di tempat awam untuk melaksanakan enakmen jenayah syariah Kelantan.

Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata sebat di penjara menepati takrif “khalayak” menurut Islam kerana saksi melebihi dua orang, lapor Bernama.

“Dalam penjara itu sudah lebih dua orang termasuk dengan doktor yang datang melihat, pegawai (penguatkuasa) agama, pengiring pesalah serta petugas lain,” kata menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Lagi Video di MMOTV