Guru cipta Jalur Gemilang Timbul untuk murid OKU

Adam Iskandar Abdullah, 9, yang cacat penglihatan menyentuh Jalur Gemilang yang buatnya bersama rakan-rakan dan guru-guru di Sekolah Kebangsaan Pendidikaan Khas (SKPK) Princess Elizabeth Johor Bahru, 16 Ogos 2017. — Foto BernamaAdam Iskandar Abdullah, 9, yang cacat penglihatan menyentuh Jalur Gemilang yang buatnya bersama rakan-rakan dan guru-guru di Sekolah Kebangsaan Pendidikaan Khas (SKPK) Princess Elizabeth Johor Bahru, 16 Ogos 2017. — Foto BernamaJOHOR BARU, 17 Ogos — “Erti kemerdekaan seharusnya lebih daripada sekadar melaungkan kata merdeka atau mengibarkan Jalur Gemilang,” ― itu antara pendapat yang diluahkan guru Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) Princess Elizabeth, Maisura Abd Jalil.

Berpengalaman mengajar selama sembilan tahun, guru berhati emas itu terus tekad mengajar anak-anak muridnya yang terdiri daripada orang kelainan upaya (OKU) masalah penglihatan dalam keadaan dirinya sendiri turut berkerusi roda.

Maisura, 34, yang menghidap penyakit buah pinggang sejak sembilan tahun lepas, juga tetap berupaya meneruskan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dengan tidak menjadikan penyakit tersebut penghalang kepada tugasnya sebagai pendidik.

“Saya suka melihat anak-anak murid saya ketawa dan menjadi satu kepuasan kepada saya jika mereka gembira. Memandangkan anak murid saya mempunyai masalah penglihatan, jadi, proses P&P dijalankan dalam keadaan murid duduk.

“Walaupun saya berkerusi roda, tetapi saya masih boleh membimbing mereka,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

​​​​​Bersempena sambutan bulan kemerdekaan tahun ini, Maisura mencetuskan idea untuk melakukan P&P dengan menghasilkan “Jalur Gemilang Timbul” bagi memastikan anak-anak muridnya tidak ketinggalan meraikan perayaan negara tersebut.

Menurut Maisura, Jalur Gemilang Timbul akan dapat memastikan murid-muridnya mengenali Jalur Gemilang dengan lebih lanjut walaupun tidak berupaya melihatnya.

“Deria rasa menggunakan jari ini ibarat 'mata' kepada orang buta, jadi dengan adanya cetakan timbul pada Jalur Gemilang ini, mereka boleh membezakan warna dan bentuk.

“Jalur Gemilang Timbul ini dihasilkan menggunakan kapas, tali, kertas tisu dan kertas berwarna biru. Kapas digunakan bagi membentuk jalur warna putih, tali berwarna merah digunakan bagi membentuk jalur merah, tisu berwarna kuning bagi bulan sabit dan bintang manakala kertas berwarna biru bagi latar bulan sabit dan bintang yang sekali gus melambangkan perpaduan,” katanya.

Maisura yang merupakan guru kelas kepada sembilan orang murid berkata penghasilan bendera berukuran 200x100 sentimeter sejak Selasa itu membolehkan murid benar-benar “merasai” semangat kemerdekaan ke 60 tahun walaupun tidak mengibarkannya.

Sementara itu, guru besar SKPK Princess Elizabeth, Mohd Dini Karim berkata penghasilan Jalur Gemilang Timbul itu merupakan kali pertama sekolah tersebut mengadakan P&P sedemikian sebagai  usaha memberikan pendedahan kepada pelajar tentang erti kemerdekaan.

“Ini merupakan langkah yang kita sangat galakkan kepada murid dan kita bercadang untuk menjadikan aktiviti ini sebagai aktiviti tahunan. Insya-Allah kita akan jalankan aktiviti yang lebih meriah kepada anak-anak murid kita,” jelasnya.

SKPK Princess Elizabeth mempunyai 59 murid yang datang dari seluruh Semenanjung Malaysia dengan dibantu 30 guru, katanya. — Bernama

Lagi Video di MMOTV