Guna papan selaju tidak halang Haziq raih diploma

Haziq Samrat berkongsi kejayaannya bersama ibu bapanya Samrat Mekah, 70, (kanan) dan Narimawati Ab Jalil, 62, pada Majlis Konvokesyen Kolej Islam Antarabangsa kali ke-10 di UIAM Gombak, semalam. — Foto BernamaHaziq Samrat berkongsi kejayaannya bersama ibu bapanya Samrat Mekah, 70, (kanan) dan Narimawati Ab Jalil, 62, pada Majlis Konvokesyen Kolej Islam Antarabangsa kali ke-10 di UIAM Gombak, semalam. — Foto BernamaKUALA LUMPUR, 22 Jan — Walaupun hanya bergantung kepada sekeping papan selaju (skateboard) sebagai ‘kaki’ untuk bergerak, pergerakan yang terhad itu tidak menghalang Muhammad Haziq Samrat, 22, mengejar impiannya menjadi seorang yang tersohor dalam bidang animasi kreatif.

Penerima Anugerah Inspirasi pada Konvokesyen Kolej Islam Antarabangsa (IIC) kali ke-10 itu tidak pernah menganggap kekurangan fizikal daripada pinggang ke bawah yang dihidapinya sejak lahir sebagai halangan untuk berjaya.

“Ayah saya yang menggalakkan saya menceburi bidang ini. Ayah berpendapat industri animasi kreatif sangat luas dan mempunyai masa depan yang cerah. Jadi ayah yang memberi semangat sepanjang saya belajar.

“Saya juga bersyukur kerana mempunyai kawan-kawan yang turut membantu pergerakan seharian seperti menaiki tangga sepanjang berada di kampus,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Konvokesyen IIC ke-10 di Pusat Aktiviti Kebudayaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, di sini semalam.

Pada majlis itu, Muhammad Haziq yang menerima Diploma Animasi Kreatif daripada Tunku Besar Tampin Tunku Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri, ditemani bapanya Samrat Mekah dan ibunya Narimawati Abdul Jalil.

Selain ingin menyambung pengajian dalam bidang animasi kreatif, Muhammad Haziq turut memasang impian menyertai temasya sukan Para ASEAN 2017 September nanti bagi acara renang.

Anak bongsu daripada tujuh beradik itu yang akan menjalani latihan untuk melayakkan diri bagi temasya itu pada bulan depan turut memasang impian mewakili Malaysia bagi acara renang pada temasya sukan Paralimpik.

Muhammad Haziq membuktikan beliau juga mampu menjalani kehidupan seperti remaja lain apabila turut aktif dalam sukan lasak termasuk ‘rock climbing’ dan ‘paintball’.

“Semua orang mempunyai cabaran dan kelemahan tersendiri. Tidak perlu rasa rendah diri, kita perlu jadi diri sendiri.

“Jadikan cabaran sebagai peluang untuk kita mencorak masa depan yang lebih cerah,” kata penerima Anugerah Tokoh OKU sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 1430 Hijrah (tahun 2009) itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IIC Shamsul Kahar Haron berkata seramai 1,523 graduan menerima penganugerahan pada majlis konvokesyen kali ini.

Majlis tersebut turut menyaksikan Amirah Sahira Muhammad Adli penerima Diploma Perbankan Islam dan Kewangan diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Terbaik bagi Keseluruhan dan Muhammad Syahir Aiman Md Sukor (Diploma Pengajian Islam dan Sains Kontemporari) menerima Anugerah Aktiviti Kokurikulum. — Bernama

Lagi Video di MMOTV