Fitnah ‘abang’ menteri, Rafizi diseru tutup mulut

Rafizi bertindak memadamkan pautan rakaman selepas 10 minit sidang media berakhir, kata Rahman Dahlan. — Foto oleh Choo Choy MayRafizi bertindak memadamkan pautan rakaman selepas 10 minit sidang media berakhir, kata Rahman Dahlan. — Foto oleh Choo Choy MayKUALA LUMPUR, 11 Dis — Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menyangkal dakwaan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli bahawa kontrak pelaksanaan Ekspo Negaraku 2017, diberikan kepada abangnya, Noor Raslan Md Dahlan.

Abdul Rahman berkata malah, Noor Raslan, Ketua Pegawai Eksekutif Pico Integrated Exhibit Sdn Bhd itu juga tidak mempunyai pertalian saudara dengannya seperti yang didakwa Anggota Parlimen Pandan itu.

“Menerusi sidang media di laman sosial ‘Facebook Live’ pada 1.30 petang ini, Rafizi sebanyak sembilan kali mengulangi dakwaan bahawa pemberian tender diberikan kepada abang saya iaitu Raslan Dahlan.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya mengenai tuduhan Rafizi Ramli dan saya tegaskan, saya tidak mempunyai apa-apa hubungan persaudaraan dengan saudara Raslan Dahlan.

“Beliau bukan abang saya walaupun kami berkongsi nama bapa yang sama,” katanya dalam satu sidang media khas yang turut dihadiri Noor Raslan Md Dahlan, hari ini. 

Justeru, Abdul Rahman berkata beliau akan berbincang dengan peguamnya dalam masa terdekat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Rafizi.

Abdul Rahman berkata, bagaimanapun sejurus 10 minit selepas sidang media berakhir, Rafizi bertindak memadamkan pautan rakaman sidang media itu.

“Walaupun beliau (Rafizi) memadamkan bukti tuduhan itu, pegawai-pegawai saya sempat merakam dan ‘screenshot’ segala rakaman sidang media itu...mungkin bila tahu saudara Raslan bukan abang saya, cepat-cepat dia padamkan bukti,”katanya. 

Abdul Rahman berkata beliau turut berharap kepimpinan Pakatan Harapan mengarahkan Rafizi untuk segera menutup mulut kerana pembohongannya ini mengaibkan mereka.

“Saya harap Rafizi berhenti daripada terus menjadi pembohong bersiri tegar dan takutlah kepada Allah,”katanya.

Mengulas mengenai perbelanjaan penganjuran pameran infrastruktur berskala besar itu, Rahman berkata tidak ada sebarang perbelanjaan projek kerajaan yang disembunyikan.

“Saya akan jawab hal ini. Tak ada perbelanjaan kerajaan yang boleh disembunyikan. Dalam parlimen, dalam audit...kita boleh jawab,” katanya.

 

Ekspo Negaraku yang berlangsung di Dataran Merdeka selama sebulan bermula 15 November lepas  merupakan ekspo interaktif julung kali dianjurkan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri bagi memberi penerangan kepada rakyat mengenai perancangan pembangunan yang sedang dan akan dilaksanakan kerajaan. — Bernama

Lagi Video di MMOTV