Felda tubuh jawatankuasa khas runding dengan Synergy Promenade

Jawatankuasa khas Felda ditubuhkan susulan perjanjian persefahaman yang ditandatangani dengan SPSB pada 15 Jan lalu yang mengembalikan hak milik 16 lot tanah kepada Felda tanpa kos. — Foto ReutersJawatankuasa khas Felda ditubuhkan susulan perjanjian persefahaman yang ditandatangani dengan SPSB pada 15 Jan lalu yang mengembalikan hak milik 16 lot tanah kepada Felda tanpa kos. — Foto ReutersKUALA LUMPUR, 29 Jan — Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas bagi mengadakan rundingan mengenai penambahbaikan terhadap pelaksanaan Perjanjian Pembangunan dengan Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB).

Felda dalam kenyataan hari ini berkata jawatankuasa itu ditubuhkan oleh mesyuarat lembaga itu, yang diadakan pada Khamis lepas, demi kepentingan dan kebaikan kedua-dua pihak.

Jawatankuasa berkenaan dipengerusikan Anggota Lembaga Felda Datuk Dr Yusof Ismail  yang mewakili Kementerian Kewangan dan dianggotai Anggota Lembaga Felda Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid yang mewakili Jabatan Perdana Menteri (JPM), Pengarah Besar Felda Datuk Ab Ghani Mohd Ali serta Datuk Zainal Abidin Abu Hassan selaku wakil JPM.

“Felda juga akan memohon kepada kerajaan untuk melantik seorang wakil daripada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), JPM di dalam jawatankuasa tersebut,” kata kenyataan itu.

Penubuhan jawatankuasa itu dibuat susulan perjanjian persefahaman yang ditandatangani di antara Felda dan SPSB pada 15 Jan 2018 di mana pihak pemaju iaitu SPSB telah secara sukarela bersetuju mengembalikan hak milik kesemua 16 lot tanah kepada Felda tanpa kos.

SPSB, yang juga pemaju Kuala Lumpur Vertical City (KLVC), turut bersetuju menyerahkan  kesemua suratan  hak milik hartanah tersebut untuk didaftarkan semula atas nama Felda.

Pada 21 Dis lepas, media melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya. — Bernama

Lagi Video di MMOTV