Farid ‘dibantai’, rakan artis minta peminat ‘jaga mulut’

Kes Datuk Farid Kamil mendapat simpati dan sokongan beberapa artis terkenal. — Foto fail Malay Mail Kes Datuk Farid Kamil mendapat simpati dan sokongan beberapa artis terkenal. — Foto fail Malay Mail KUALA LUMPUR, Jan 13 ― Beberapa artis terkenal meminta pengguna media sosial supaya tidak terus menghukum Datuk Farid Kamil berikutan kes polis.

Mengajak semua pihak mendoakan kebaikan Farid dan isteri Datin Diana Danielle serta anak mereka, pelakon Fizo Omar sedih melihat Farid “dibantai bertalu-talu”.

Mengingatkan semua pihak “cabaran kita semua berbeza”, beliau yang mendoakan ketabahan mereka, percaya “ada sesuatu kesilapan” berlaku.

“Cuma yang tahu nak bantai seolah-oleh dia ni tak pernah buat sebesar zarah kebaikan pun. Come on la! Hari ni hari dia, esok lusa akan tiba turn (giliran) kita pulak. 

“Aku harap DD (Diana Danielle) dan keluarga terus tabah dan aku doakan hikmah di sebaliknya akan membawa kebaikan kepada FK (Farid Kamil) dan keluarga,” katanya di Instagram hari ini. 

Farid, ditahan 10 Januari lalu berikutan tindakannya menampar polis dan orang awam di balai Kota Damansara. Beliau yang turut disiasat kes dadah kemudian direman empat hari.

Aktres Rozita Che Wan melalui Instagramnya juga meminta peminat supaya “jaga mulut” dan mendoakan kebaikan Farid dan Diana.

“Jaga mulut na... Sayang korang yang tak jadi keyboard warrior kat sini... Kita doa yang baik-baik,” katanya.

“Bertabahlah Farid Kamil dan Diana Danielle. Insya-Allah kebenaran akan terserlah jua.”

Beberapa selebriti lain termasuk Lisa Surihani, Izara Aishah dan Zul Ariffin turut mendoakan ketabahan pasangan tersebut.

Lagi Video di MMOTV