Selepas anugerah Puskas, Faiz terima pingat sultan Kedah

Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan mengurniakan pingat ingat Ahli Semangat Jerai Kedah (A.S.K) kepada Mohd Faiz Subri Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-89 di Istana Anak Bukit hari ini. ― Foto BernamaSultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan mengurniakan pingat ingat Ahli Semangat Jerai Kedah (A.S.K) kepada Mohd Faiz Subri Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Baginda yang ke-89 di Istana Anak Bukit hari ini. ― Foto BernamaALOR SETAR, 27 Feb ― Pemenang gol tercantik Anugerah Puskas FIFA 2016, Mohd Faiz Subri hari ini menerima pingat Ahli Cemerlang Semangat Jerai Kedah (A.S.K) daripada Sultan Kedah, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Mohd Faiz menerima pingat itu pada majlis Istiadat Pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran sesi kelapan di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit, di sini.               

Beliau merupakan antara 164 penerima darjah dan bintang kebesaran sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-89.

Pemain Pulau Pinang berusia 30 tahun itu mencipta sejarah sebagai pemain Asia pertama dikurniakan anugerah itu pada 9 Jan lepas menerusi jaringan ajaib semasa perlawanan Liga Super antara Pulau Pinang menentang Pahang pada 16 Feb tahun lepas.

Turut menerima pingat A.S.K ialah 31 pegawai dan pemain Kedah, antaranya Mohd Syazwan Zainol, Muhammad Shafiq Ahmad , Abdul Halim Saari, Mohd Ifwat Akmal Che Kassim, Ahmad Fakhri Saarani dan Mohd Rizal Ghazali.

Kapten pasukan Kedah, Baddrol Bakhtiar, Khairul Helmi Johari dan Abdul Hadi Abdul Hamid pula menerima Bintang Kebaktian Masyarakat (B.K.M) manakala pemain import, Sandro Da Silva menerima pingat Ahli Cemerlang Semangat Jerai Kedah Kehormat.

Sementara itu, Mohd Faiz, ketika ditemui, berkata penganugerahan pingat itu sedikit sebanyak menyuntik semangat beliau untuk terus berjaya dalam sukan bola sepak dan seterusnya mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

“Saya berterima kasih ke atas Tuanku Sultan Kedah atas pingat ini dan berjanji akan terus beri fokus dalam bola sepak dan berusaha memajukan diri untuk pasukan dan negara,” katanya.

Turut hadir menemani beliau ialah, isterinya Nor Zawanis Hashim, 30, serta dua anaknya, Akif Fayyadh, 5, dan Mohd Aqil Zayyan, 10 bulan, dan ibunya Sadiah Ishak, 56. ― Bernama

Lagi Video di MMOTV