Dulu 12 jam ke Pantai Timur, kini ECRL pendekkan empat jam

Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) bersama Kaunselor Negara China, Wan Yong (empat, kiri) melihat replika laluan Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek ikonik itu hari ini. — Foto BernamaDatuk Seri Najib Tun Razak (tengah) bersama Kaunselor Negara China, Wan Yong (empat, kiri) melihat replika laluan Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek ikonik itu hari ini. — Foto BernamaKUANTAN, 9 Ogos — Perdana Menteri Datuk Seri Najib  Razak hari ini menyifatkan pembinaan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) merupakan pencetus perubahan dan haluan pemikiran bagi Malaysia kerana paling utama ia akan memendekkan masa perjalanan pergi dan balik ke pantai timur Semenanjung.

Beliau berkata  perjalanan kereta api dari Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) di Gombak, Selangor ke Kota Bharu, Kelantan dijangka kurang daripada empat jam berbanding purata lapan jam malahan hingga 12 jam atau lebih semasa musim perayaan, menjadikan ECRL medium pengangkutan pilihan yang lebih selesa  sebaik ia siap dibina.

“Projek ECRL juga akan menentukan rentak kesan limpahan ekonomi dan impak sosial yang positif bagi negeri-negeri di pantai timur.

“Ia akan menjadi pemangkin bagi kesaksamaan ekonomi antara Pantai Barat dan Pantai Timur kerana akan turut merangsang pelaburan, menggalakkan kegiatan komersial, mewujudkan pekerjaan yang mencukupi, memudahkan  pendidikan berkualiti dan merancakkan industri pelancongan di Pahang, Terengganu dan Kelantan,” katanya.

Najib berkata demikian dalam ucaptama semasa majlis pecah tanah projek ECRL di tapak projek KotaSas Sentral di sini hari ini, yang turut disaksikan Timbalan Perdana Menteri Majlis Negara China Wang Yang, Pengarah Eksekutif dan Pengerusi China Communications Construction Company Ltd (CCCC) Liu Qitao dan pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

Turut hadir ialah menteri pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai dan tiga menteri besar negeri-negeri pantai timur Datuk Seri Adnan Yaakob (Pahang), Datuk Seri Ahmad Razif  Abdul Rahman (Terengganu) dan Datuk Ahmad Yakob (Kelantan).

Najib turut  menarik perhatian bahawa ECRL akan menjadi projek laluan rel negara yang paling panjang sejauh 688 kilometer dengan kos berjumlah RM55 bilion dan akan dibina oleh CCCC, yang merupakan satu daripada kumpulan infrastruktur pengangkutan ternama dan tersenarai sebagai kontraktor antarabangsa ketiga paling terkemuka di dunia sementara MRL sebagai pemilik projek.

Malaysia turut mendapat syarat pembiayaan menarik untuk ECRL dengan 85 peratus daripada projek itu dibiayai melalui pinjaman mudah 3.25 peratus daripada China Exim Bank, dengan tempoh moratorium tujuh tahun sementara 15 peratus lagi dibiayai melalui program sukuk yang diuruskan oleh bank-bank pelaburan tempatan, katanya.

Najib juga menegaskan bahawa kerajaan telah menggariskan kepentingan Malaysia dalam projek itu termasuk menerusi satu perjanjian dengan China bahawa sekurang-kurangnya 30 peratus kontraktor Malaysia akan terlibat dlam projek berimpak tinggi ini sementara program latihan industri  ECRL yang dilancarkan pada 14 Jun, akan memberikan peluang kepada pelajar Malaysia menimba kemahiran untuk bekerja dengan ECRL.

“Oleh tu saya menggesa para kontraktor tempatan dengan keupayaan dan pengetahuan mereka supaya merebut peluang ini dan menyertai projek penting ini yang akan merangsang pertumbuhan ekonomi bagi Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).

“Kita merancang untuk melibatkan 3,600 pelajar Malaysia di bawah program latihan yang memberi peluang mereka dilatih mengikut sukatan pelajaran yang disediakan oleh dua universiti terkemuka China dan sembilan institut pendidikan tinggi Malaysia.

“Pelajar yang menamatkan latihan akan secara automatik ditawarkan pekerjaan oleh MRL, pemilik projek dan CCCC sebagai kontraktor utama atau subkontraktor mereka,” katanya.

Najib berkata penjajaran ECRL akan turut menggalakkan pembangunan kawasan perindustrian dan trend pertumbuhan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) yang akan membangunkan daerah kediaman padat dan pusat komersial di sepanjang stesen kereta api dan secara langsung memberi manfaat kepada bandar-bandar utama yang dikenal pasti sebagai stesen utama projek ini.

Beliau menyebut contoh ECRL yang akan menghubungkan kawasan perindustrian ekonomi utama seperti Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP) dan Taman Halal Gambang di Pahang, Taman Biopolimer Kertih (Terengganu) dan Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (Kelantan).

“Saya ingin menekankan bahawa projek ECRL berpaksikan rakyat. Kerajaan telah mengunjurkan Keluaran Dalam Negeri Kasar bagi negeri-negeri pantai timur akan tumbuh pada kadar 1.5 peratus sekarang dengan pelaksanaan projek ini.

“Daya maju ECRL tidak boleh dipertikaikan kerana dianggarkan 5.4 juta penumpang dan 53 juta tan kargo akan menggunakan perkhidmatan itu setahun menjelang 2030 sebagai pengangkutan utama antara Pantai Timur dan Barat. — Bernama

Lagi Video di MMOTV